Sumbangan UKM Kepada Pembangunan Lestari Dunia Di Hargai

JUMAAT, 21 MAC 2014 17:11

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 20 Mac 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipuji oleh ahli sains Perubahan Iklim kerana sumbangannya terhadap usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di bawah Protokol Kyoto.

Penyelidik Perubahan Iklim Dr Gary W Theseira berkata kerjasama UKM dengan Yayasan Sime Darby (YSD) untuk pembangunan lestari teknologi sisa sifar bagi industri minyak sawit telah menarik perhatian seluruh dunia.

Dr Theseira, Timbalan Setiausaha di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, membuat penilaiannya yang meyakinkan itu dalam Syarahan Umumnya di sini hari ini atas tajuk Politik Antarabangsa Perubahan Iklim.

Beliau berkata Malaysia telah memberi sumbangan kepada penyelidikan alam sekitar melalui pakar Kaji Iklim dan  Oseanografi UKM Prof Fredolin Tanggang, Naib Pengerusi Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC) Kumpulan Kerja 1.

Secara keseluruhannya, beliau berkata Malaysia berjaya menghasilkan maklumat penting kepada pembangunan lestari walaupun pada hakikatnya, seperti negara-negara membangun yang lain, ia tidak mempunyai matlamat tepat di bawah Protokol Kyoto bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Di bawah Protokol itu, negara-negara dunia ketiga dibenarkan membangun mengikut keperluan masing-masing.

Bagaimana pun beliau kesal bahawa Protokol Kyoto, yang menetapkan usaha pengurangan pengeluaran gas hijau yang perlu dipatuhi negara-negara maju, kurang berkesan kerana banyak negara-negara perindustrian – termasuk Amerika Syarikat – masih belum mematuhi perjanjian itu walaupun 17 tahun selepas ia dipersetujui mereka.

Dr Theseira, seorang pakar terkemuka mengenai sumbangan Malaysia kepada penyelidikan Perubahan Iklim di pentas antarabangsa, berkata Kanada, salah satu pengeluar minyak terbesar di dunia, belum menandatangani protokol Kyoto; Amerika Syarikat tidak mengesahkannya, seperti juga Australia, antara pengeluar arang batu yang terbesar di dunia.

China, India dan negara membangun lain tidak perlu mematuhi Protokol Kyoto dan sumbangan mereka secara rasmi hanya sah sehingga tahun 2012 dan diperbaharui pada tahun 2013.

Beliau berkata adalah sukar untuk meyakinkan negara-negara dunia ketiga untuk melakukan lebih banyak untuk mengurangkan pelepasan gas hijau kiranya negara-negara maju sendiri tidak menunjukkan kesediaan mereka untuk mengurangkan pengeluaran gas itu sebagaimana mereka sendiri berjanji.

Malaysia bagaimana pun mempunyai program untuk pembangunan lestari bagi perhutanan dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar dan sel fuel hidrogen yang dijalankan oleh universiti-universiti dan agensi-agensi kerajaan.

Dr Theseira dipinjamkan dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) kepada kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk menganalisis dasar, pembangunan dan sokongan untuk pengurusan alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan lestari.

Selain daripada keengganan negara-negara perindustrian utama mematuhi protokol Kyoto, beliau berkata negara-negara Barat sering menghubungkan isu-isu yang tidak berkaitan seperti perdagangan dan hak asasi manusia apabila mereka diminta untuk mematuhi syarat-syarat Protokol Kyoto.

Beliau menyifatkan Perubahan Iklim, atau Pemanasan Global, sebagai salah satu ancaman alam sekitar yang paling serius dalam abad ke-21 ini.

Ia adalah satu-satunya masalah alam sekitar global yang menerima perhatian ketua-ketua kerajaan dan telah menjadi agenda untuk hampir semua Persidangan lapan negara paling maju sejak bertahun kebelakangan ini.

Turut hadir pada syarahan itu Pengarah Perubahan Iklim UKM Prof Dato’ Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, yang memberi ucapan pengenalan terhadap Dr Theseira selepas ucapan pembukaan oleh Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dato’ Dr Saran Kaur Gill.