UIAM Menjuarai Pertandingan Pantun IPT 2014

JUMAAT, 21 MAC 2014 08:45

Oleh Athirah Abdul Aziz (pelatih UiTM)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 16 Mac 2014 – Pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menjuarai  pertandingan Pesta Pantun Integrasi Budaya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berakhir di Kolej Ibu Zain Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Ia menerima piala pusingan, hadiah wang tunai RM1200 dan hadiah iringan.

Ini adalah kali ketiga Kolej Ibu Zain menjadi tuan rumah  pertandingan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 1M4U, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) dan Pusat Kebudayaan UKM.

Tempat kedua jatuh kepada Kumpulan A Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menerima hadiah wang tunai RM1000 dengan tampat ketiga dimenangi pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan hadiah wang tunai RM500.

Sejumlah 12 pasukan dari lapan Institusi Pengajian Tinggi termasuk UKM mengambil bahagian tahun ini.

Ketua Pengarah DBP Datuk Dr Awang Sariyan, berucap sebelum pusingan akhir dilangsungkan berkata pertandingan itu bertujuan menggalakkan budaya berpantun serta memupuk nilai perpaduan melalui seni berpantun di kalangan pelajar IPT.

Mohd Haziq dari UiTM dipilih juri sebagai Pemantun Terbaik dan menerima hadiah wang tunai RM200 serta hadiah iringan.

Ketua juri, Mohamad Shaidan, seorang editor dari DBP memberitahu peserta dinilai berdasarkan bahasa, isi kandungan dan persembahan.

Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal dan Dr Awang Sariyan.