UKM Cadang Pertukaran Pensyarah Dan Pelajar Antara UKM Dan Universiti Latin Amerika

SELASA, 04 MAC 2014 08:31

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 28 Feb 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan universiti terkemuka Amerika Latin memohon pengiktirafan daripada kerajaan Malaysia untuk meningkatkan kerjasama dan pertukaran pensyarah serta pelajar antara mereka.

Timbalan Naib Canselor (Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata UKM berharap untuk mendapat pengiktirafan bersama kursus atau jam kredit untuk kurikulum tertentu.

Bercakap dalam suatu mesyuarat dengan sekumpulan perwakilan Kedutaan Amerika Latin dan Caribbean di Malaysia mengenai kerjasama masa depan mereka di sini hari ini, Prof Riza Atiq menerangkan bahawa UKM sudah pun melaksanakan beberapa perkongsian dengan negara-negara Amerika Latin, seperti pertukaran mobiliti dengan universiti Mexico dan siri Syarahan Umum Simon Bolivar dengan Venezuela.

Walau bagaimanapun, beliau berkata UKM dan universiti Amerika Latin boleh melanjutkan kerjasama dengan saling membenarkan pelajar untuk pindah universiti antara satu sama lain tanpa kehilangan jam kredit.

Prof Riza Atiq berkata UKM juga mahu kajian serantau dengan institusi Amerika Latin dan bukan hanya setakat mobiliti dengan Mexico. Beliau bagaimanapun mengakui bahawa setakat ini belum ada mekanisme untuk pengiktirafan jam kredit demikian di UKM.

Cadangan itu dipersetujui sebulat suara oleh semua wakil kedutaan yang hadir di mesyuarat itu yang dianjurkan oleh Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS).

Duta Mexico dan Colombia, masing-masing Carlos Isauro Félix Corona dan Rodrigo Querubín Londoño menawarkan kursus intensif dalam bahasa Sepanyol untuk pelajar Malaysia yang ingin meneruskan pengajian tinggi mereka di Amerika Latin.

Mereka menegaskan bahawa halangan utama kepada pelajar-pelajar asing adalah kefasihan dalam bahasa Sepanyol.

Corona berkata negaranya belum lagi menjadi destinasi untuk rakyat Malaysia yang ingin belajar di luar negara tetapi baru-baru ini ada kemajuan dalam pertukaran pelajar dan program mobiliti dengan UKM.

Beliau menegaskan sesiapa yang ingin memasuki sebuah universiti di Mexico mesti mahir dalam bahasa Sepanyol dan menghadiri kursus-kursus bahasa dan budaya terdahulu sebelum melanjutkan pengajian.

Beliau berkata bahasa Sepanyol yang sesuai adalah loghat Amerika Tengah dan Selatan, yang lain daripada bahasa formal yang digunakan di Sepanyol.

Ketua Pusat Kajian Amerika Latin IKMAS Dr Zarina Othman berkata UKM sedang cuba untuk mendapatkan pembiayaan daripada kerajaan, untuk penutur asli Bahasa Sepanyol mengajar bahasa itu untuk pelajar yang pergi ke Amerika Latin.

Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli turut hadir pada mesyuarat itu.