Fakulti Pendidikan Menjuarai Pertandingan Keusahawanan

RABU, 28 MEI 2014 15:27

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Mei 2014 – Fakulti Pendidikan muncul Juara Keseluruhan meraih piala pusingan bagi pertandingan Hari Keusahawanan dan Inovasi yang dianjurkan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-CESMED) di sini hari ini.

Seramai 3,000 orang pelajar dari kesemua 13 fakulti  mengambil bahagian melalui 23 jenis perniagaan dalam pertandingan itu di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Sejumlah hampir 600 Syarikat Simulasi perniagaan telah mereka wujudkan untuk bersaing dalam empat kategori pertandingan dalam acara tahunan yang telah diadakan sejak 2011 itu.

Fakulti Pendidikan membolot ketiga-tiga tempat teratas bagi kategori Simulasi Perniagaan Mogul dan sekaligus dinobatkan sebagai juara keseluruhan pertandingan.

Kategori Business Concept dimenangi oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan manakala Fakulti Sains dan Teknologi muncul naib juara dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina memenangi tempat ketiga.

Bagi Pertandingan One-Minute Business Pitching, syarikat Carameo Entreprise mendapat tempat pertama dengan syarikat  Gogo Steamex tempat kedua manakala tempat ketiga dimenangi Mudzalifah Enterprise.

Fakulti Pendidikan telah menjuarai pertandingan Rekaan Poster dengan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat memenangi tempat kedua dan Fakulti Sains Kesihatan jatuh ditempat ketiga.

Pengarah CESMED Profesor Mohd Fauzi Mohd Jani berkata program itu bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang keusahawanan serta mendidik mereka mempunyai sikap inovatif, kreatif dan berdaya saing.

Prof Fauzi berkata buat masa ini, UKM-CESMED menawarkan empat kursus kepada semua pelajar UKM dan semua tenaga pengajarnya terdiri daripada kalangan felo UKM-CESMED dari semua fakulti di UKM yang mengajar kursus keusahawanan.

“Program itu disusun sebegitu rupa bagi membolehkan pelajar terdedah kepada ilmu keusahawanan supaya apabila berada ditahun akhir pelajar mampu menubuh dan menjalankan syarikat mereka sendiri,” katanya ketika berucap di majlis pelancarannya.

Acara penutupan dilakukan oleh Timbalan Pengarah Akademik UKM-CESMED Prof Dr Rosilah Binti Hassan.