Lebih Ramai Pelajar Sains Diperlukan Untuk Mencapai Status Negara Maju

JUMAAT, 02 MEI 2014 13:06

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 24 April 2014 – Sekurang-kurangnya 60% daripada pelajar sekolah perlu mengambil mata pelajaran Sains dan Matematik di institusi pengajian tinggi sekiranya Malaysia mahu mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

Pengarah Institut Perubatan Biologi Molekul (UMBI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Professor Dato’ Dr. Abdul Rahman Jamal berkata peratus remaja yang memasuki aliran Sains kini hanya 30% dan tidak mencukupi untuk menjayakan wawasan itu.

Ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada perasmian sambutan Hari DNA 2014 UKM di sini hari ini, Prof Abdul Rahman berkata daya saing negara bergantung kepada kemampuan golongan muda menguasai sains dan matematik.

Beliau mengingatkan pelajar tingkatan empat yang menghadiri majlis tersebut supaya menanam minat dalam bidang sains kerana ia boleh memberikan kerjaya yang baik untuk mereka dan negara.

Seramai 100 orang pelajar sekolah dari Kuala Lumpur dan Selangor berpeluang mengambil bahagian dalam perayaan satu hari itu yang menyediakan pameran mengenai DNA dan penyakit keturunan.

Prof Abdul Rahman berkata UKM bersedia membantu pelajar berkelayakan dan meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik melalui kursus-kursus yang sesuai di Pusat Kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi seperti UMBI dan Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektrik (IMEN).

UMBI, katanya, adalah antara institusi terbaik dalam negara bagi penyelidikan sel-sel pembiakan yang dikenali sebagai “Stem Cells”. Sel stem ialah “tuan” segala sel tubuh yang membentuk semua tisu lain, organ dan sistem di dalam badan. Umpamanya sel stem hematopoietik yang terdapat dalam darah adalah blok pembinaan darah dan sistem kekebalan atau imun tubuh.

UMBI dalam tempoh 10 tahun lalu telah banyak menjalankan penyelidikan perubatan yang menyumbang kepada kefahaman kesihatan dan bagaimana penyakit berjangkit merebak di negara ini.

Prof Abdul Rahman juga mengingatkan pelajar sekolah supaya mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula di mana seseorang hanya perlukan 20gm gula sahaja sehari, iaitu satu camca kecil.

Isu kesihatan kini semakin penting kerana Malaysia menduduki tempat ke-20 dalam senarai negara yang paling ramai penghidap penyakit darah tinggi, iaitu 41% daripada keseluruhan penduduk negara.

Timbalan Ketua Pengarah IPTA Jabatan Pengajian Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar turut hadir dalam majlis perasmian itu.