Panel Akademik UKM dan Swasta Diwujudkan

KHAMIS, 22 MEI 2014 08:18

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Mei 2014 – Sektor swasta dan ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersetuju melakukan perkongsian maklumat dan bertukar pandangan untuk membantu usaha menyediakan Malaysia menghadapi cabaran ekonomi global.

Sebuah panel rasmi terdiri daripada enam ahli akademik ekonomi UKM dan enam orang wakil sektor swasta bertekad untuk bekerjasama bagi mengetahui apakah teori penyelidikan bertindih dengan amalan perniagaan sebenar.

Mereka telah mengadakan mesyuarat pertama di sini minggu lalu dengan Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali bertindak sebagai moderator.

Ia dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) dan Prof Noor Azlan berpuas hati dengan hasilnya serta bertekad menjadikan perjumpaan demikian suatu acara tahunan.

Panel itu digelar Kongsi Ilmu@FEP membincang sejauh mana bidang masing-masing mempunyai persamaan.

Dalam bidang makroekonomi, Prof Dr Mansor Jusoh, seorang pakar dalam perbankan Islam, seperti Al -Murabahah, mencadangkan instrumen berasaskan hutang Islam diadakan dengan menggunakan prinsip pertukaran atau kontrak tertunda pertukaran.

Wakil sektor swasta, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, mantan Pengerusi Proton dan kini Pengerusi Nadicorp Holdings, sebuah syarikat pengangkutan dan kereta elektrik mengakui pembiayaan berasaskan hutang Islam boleh berfungsi sebagai penstabil terhadap kredit dan wang bekalan kerana permintaan untuk Murabahah akan turun apabila kadar inflasi meningkat.

Timbalan Pengarah MARA (Dasar dan Perancangan Strategik) Haji Shahrizin Hj Abdul Sarhadat berpendapat Murabahah boleh membantu mengehadkan pengambilan kredit.

Seorang lagi akademik Prof Madya Dr Tamat Sarmidi, berkata apabila Malaysia dibandingkan dengan negara-negara maju, ia berada di kedudukan negatif dalam liberalisasi kewangan. Ini bermakna negara tidak melakukan yang secukupnya untuk menggalakkan persaingan terbuka dan menarik pelaburan asing, walaupun Malaysia amat bergantung kepadanya.

Nadzmi bagaimanapun berkata negara ini masih memerlukan tindakan afirmatif sebagai “penampan” kepada perniagaan tempatan bagi membolehkan mereka membina kapasiti.

Tokoh swasta itu yang juga pengarah dalam beberapa syarikat kaitan kerajaan bersetuju Malaysia perlu meliberalisasikan sektor kewangannya tetapi harus secara berperingkat.

Dr Tamat bagaimanapun tegas dengan pendiriannya bahawa melakukan perubahan langkah demi langkah tidak memadai dengan memberi contoh seorang yang sakit beberapa batang giginya tentunya tidak mahu giginya di cabut secara beransur beberapa kali. Lebih baik cabut semuanya sekali gus. Mungkin ia lebih menyakitkan tetapi berlaku hanya sekali. Ini adalah lebih baik daripada berjumpa doktor gigi beberapa kali dan merasai sakit banyak kali.

Prof Madya Dr Noor Aini Khalifah pula berpendapat ekonomi Malaysia telah menjadi terlalu liberal untuk membolehkan syarikat tempatan bersaing di landasan yang sama dengan firma asing. Beliau berkata firma tempatan, baik peniaga kecil mahu pun syarikat besar akan secara beransur terpinggir oleh  syarikat antarabangsa.

Nadzmi berkata sememangnya terdapat faedah bagi syarikat asing beroperasi di sini tetapi beliau mengingatkan bahawa negara harus mempunyai strategi untuk bersedia menghadapi kemungkinan syarikat gergasi demikian pada suatu masa tiba-tiba menarik diri keluar dari beroperasi di sini.

Beliau memberi contoh Dyson PLC, pengeluar pembersih hampagas mewah British, yang menubuhkan kilang-kilangnya di Johor.

“Di manakah kita berada kiranya Dyson meninggalkan negara ini? Bagaimana dengan kita? ” tanya Nadzmi.

Dr Rozita Amiruddin, pula menimbulkan perlunya wujud pengurusan yang kuat dalam firma. Dalam kertasnya yang di bentang pada perjumpaan itu, beliau berkata setiap firma perlu membentuk Sistem Kawalan Pengurusan (MCS) berdasarkan keperluan penyelidikan dan pembangunan. MCS harus mempengaruhi tingkah laku pekerja ke arah meningkatkan kebarangkalian mencapai matlamat inovasi organisasi.

Bagaimanapun ahli panel sektor swasta kurang memberi sambutan kepada cadangan itu. Nadzmi berkata tidak semestinya kawalan yang kukuh boleh menentukan kejayaan yang lebih baik ataupun kurangnya kawalan membawa kepada kegagalan.

Bagi syarikat yang menghadapi pembubaran, Penolong Prof Dr Razali Haron mencadangkan satu formula diwujudkan untuk meramal jumlah optimum hutang sesebuah syarikat bagi membolehkannya mengambil langkah untuk mengurangkan risiko muflis.

Nadzmi bagaimanapun berpendapat di Malaysia terdapat banyak perniagaan yang dikendalikan atas kehendak sosio-politik walaupun mengalami kerugian berjuta ringgit.

“Saya mengendalikan sebuah syarikat bas yang rugi; tiada kenaikan tambang dibenarkan,” beliau mengeluh merujuk kepada firma pengangkutan Konsortium Transnasional Berhad di mana beliau adalah Pengerusi dan Pengarah Urusannya sejak 1996.

Nadzmi berkata perkhidmatan kepada rakyat adalah penting dan keuntungan semata-mata bukan menjadi pertimbangan kerajaan.