Pelajar Iran Dan Sri Lanka Menangi Pertandingan Ejakata BM

RABU, 07 MEI 2014 08:26

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Abdul Ra’ai Osman

BANGI, 24 April 2014 – Tahereh Jafari dari Iran dan RA Sarjoon dari Sri Lanka telah memenangi Pertandingan Ejaan Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian Umum (PPU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk pelajar pascasiswazah antarabangsanya hari ini.

Tahereh pelajar di Institut Selfuel dan RA Sarjoon dari Fakulti Pengajian Islam (FPI) memenangi peraduan itu yang disertai pelajar-pelajar pascasiswazah antarabangsa yang mengambil Bahasa Melayu di PPU sebagai pelajaran tambahan mereka.

Pertandingan “Ejakata” itu telah diadakan di Dewan Pusat Pengurusan Siswazah (PPS) dan seramai 16 orang pelajar berjaya dipilih untuk bertanding selepas melalui ujian saringan.

Pengarah PPU, Prof Dr Khairul Anwar Mastor memuji tenaga pengajar PPU yang menganjurkan pertandingan itu serta pelajar antarabangsa yang mengambil bahagian.

“Dengan mengajar Bahasa Melayu kepada mereka, ia akan membantu menyebarkan jangkauan bahasa itu dan mendedahkannya ke pesada antarabangsa,” kata Prof Khairul.

Beliau berkata kejayaannya melambangkan semangat patriotik dan bangga terhadap bahasa kebangsaan serta berharap pertandingan yang pertama kali diadakan itu akan dijadikan acara tahunan.

Prof Khairul kemudiannya menyampaikan trofi serta sijil kepada pemenang dan peserta pertandingan ‘ejakata’ itu.