Pementasan Teater Musikal Pelajar Fakulti Undang-Undang Mendapat Sambutan Hangat

JUMAAT, 02 MEI 2014 08:06

Oleh Athirah Abdul Aziz
Foto Ihsan Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang

BANGI, 30 Apr 2014 – Teater Muzikal Mock Trial 2014 persembahan Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-Undang (FUU) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk Mannequin telah mendapat sambutan hangat.

Mock Trial adalah sebuah teater musikal yang mementaskan perbicaraan olok-olok dalam mahkamah dengan memaparkan bagaimana sesuatu kes jenayah dikendalikan oleh pendakwa dan pembela dalam mahkamah.

Pementasan itu adalah suatu acara tahunan pelajar FUU yang dimulakan tahun lalu dan telah berjaya menonjolkan lagi kebolehan mereka terlibat dalam suatu persembahan teater musikal.

Ketua Pengarah pementasan Mohd Amierul Sharafi berkata persiapan untuk produksi itu dilakukan sejak lapan bulan lalu dan dianjurkan untuk mengikut jejak langkah universiti tempatan lain seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Tajuk Mannequin ia itu ‘Patung’ dipilih sebagai tema teater komidi itu untuk mewujudkan sifat ingin tahu bagi menarik minat orang ramai menontonnya.

Ia mengisahkan suatu kejadian pembunuhan kejam tuan punya butik esklusif, Misha dengan suspek utamanya berupa rakan kongsi dan kekasih mangsa, Dato’ Saat bin Talib. Dato’ Saat didakwa melakukan pembunuhan dengan memukul kepala mangsa dengan alat tumpul iaitu tangan suatu mannequin.

Teater itu diuruskan oleh 30 orang ahli jawatan kuasa persatuan mahasiswa tersebut. Pelakon yang terdiri dari pelajar FUU dipilih melalui uji bakat dan dianggap yang terbaik walaupun mereka tidak pernah berlakon atau mempunyai asas dalam lakonan, kata Mohd Amierul.

Pementasan itu ditaja 10 buah syarikat dengan syarikat Legend Venture sebagai penaja utama. Syarikat itu juga adalah penaja utama teater Mack Trial tahun lalu dengan tajuk Cendol.

Penganjur telah berjaya menjual keseluruhan 900 tiket bagi malam pertama pementasan dalam tempoh lima jam walau pun ia hanya dipromosikan melalui laman web Facebook, Twitter dan Youtube sahaja.

Ia berlangsung di Panggung Seni, UKM dari 18 hingga 20 April lalu.