Pemuliharaan Ekosistem Laut Perlukan Peningkatan Kadar Pembiakan Haiwan Laut

KHAMIS, 08 MEI 2014 16:39

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai bin Osman

BANGI, 8 Mei 2014 – Penyelidikan sedang dijalankan untuk mengetahui kenapa spesies atau haiwan yang sama dalam sesuatu kumpulannya enggan mengawan dengan spesies sama tetapi dari kumpulan lain walaupun di kawasan yang kecil, seperti haiwan laut di sekitar Pulau Tioman, perairan Pahang dan pantai timur Johor.

Pakar Biologi molekul Profesor Dato’ Dr Rahmah Mohamed, yang baru tamat perkhidmatan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, insiden pembiakan rendah antara beberapa jenis haiwan laut terutamanya invertebrata dan ikan amat mencemaskan.

Prof Rahmah telah berbincang mengenai perkembangan itu dengan beberapa ahli sains tempatan dan luar negara serta Jabatan Taman Laut di Pulau Tioman selepas ekspedisi UKM untuk mengumpul sampel haiwan laut di situ baru-baru ini.

Beliau berkata kadar pembiakan yang rendah itu telah mengurangkan bilangan organisma dan beliau bimbang kiranya pengurangan bilangan haiwan di sepanjang pantai Pahang dan Johor itu berterusan lambat laun ia boleh membawa kepada kepupusan jenis haiwan itu.

Para saintis lain dalam perbincangan itu ialah Penerima Anugerah Nobel dan tokoh Laureate Bermastautin UKM Dr Sir Richard Roberts, Pengarah Pusat Legasi Genom Lautan (OGL) Profesor Dan Distel dan Pengarah Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin UKM (EKOMAR) Profesor Madya Dr Mohd Shahriman Ghazali.

OGL adalah sebuah badan penyelidikan alam sekitar di Amerika Syarikat khusus untuk mewujudkan kaedah baru bagi membolehkan kajian dan pemuliharaan spesies laut dilakukan melalui pemahaman dan perlindungan ekosistem terbesar di dunia.

Mereka bersetuju bahawa adalah penting kadar pembiakan pelbagai spesies laut dipertingkatkan untuk membantu menyelamatkan spesies bersangkutan.

Siasatan awal dan penyelidikan Ekspedisi Saintifik Tioman Seribuat mendapati invertebrata seperti karang, gamat serta ikan menghadapi kewujudan spesies itu sedang terancam.

Ada juga kesan pencemaran atau tekanan berlaku kerana pelancongan semakin meningkat yang membawa kepada kematian spesies.

Prof Distel berkata lautan adalah ekosistem di dunia yang paling berpengaruh tetapi kurang difahami. Ia mempunyai suatu jaringan spesies di mana semua kehidupan bergantung untuk makanan, iklim; malahan udara untuk bernafas.

“Bagi melindungi sumber alam yang penting itu daripada ancaman pemanasan global, kemusnahan habitat, aktiviti penangkapan ikan dan pencemaran, kita memerlukan pemahaman yang lebih terhadap kepelbagaian hidupan laut,” kata Prof Distel.

Beliau memberi contoh penyelidikan di seluruh dunia oleh OGL mengenai Ikan Paus Minke, yang mendapati bahawa mamalia itu tidak membiak apabila jantan dan betina daripada populasi berbeza dicampurkan dalam satu habitat.

“Mereka seolah-olah mempunyai budaya yang berbeza yang menjadikan ia sukar bagi mereka untuk bersosial atau saling bergaul,” kata Prof Distel.

Beliau menganggarkan hampir satu pertiga daripada semua aktiviti komersial penangkapan ikan telah merosot. Jumlah penangkapan juga telah berkurangan sebanyak 10% manakala 25% daripada semua batu karang telah pupus.

Usaha besar-besaran perlu diadakan untuk mengelak ikan dan terumbu karang dari berterusan berkurangan supaya kewujudan pelbagai jenis hidupan marin tidak akan pupus hanya dalam tempoh 25 hingga 50 tahun akan datang.

Jika tidak kekurangan ikan dan terumbu karang boleh mengakibatkan bekalan makanan berkurangan. Ini akan membawa kepada kekurangan pekerjaan, kemerosotan kualiti hidup, kehilangan mata pencarian dan kehilangan peluang lain, kata Prof Distel.

Dr Shahriman menegaskan bahawa kepelbagaian hidupan di lautan adalah sumber nilai yang tiada bandingannya. Kita bergantung kepada hidupan laut untuk makanan, pekerjaan, rekreasi serta juga kewujudan pelbagai ekosistem penting.

Sebagai contoh, jaringan yang rumit di lautan menghasilkan separuh daripada oksigen untuk pernafasan, selain memproses banyak bahan kumbahan, mempengaruhi suhu, hujan dan iklim.

Jaringan ini bagaimanapun mudah terjejas. Suhu lautan yang meningkat, pengasidan, pencemaran, kemusnahan habitat, terlalu banyak kegiatan menangkap ikan dan aktiviti manusia lain telah menjejaskan hampir semua spesies marin dan ekosistem lautan, kata Dr Shahriman.

Dr Roberts, yang memenangi hadiah Nobel kerana berjaya memotong gen, menggesa semua negara menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti marin.

Beliau berkata adalah sukar untuk mengetahui fungsi tepat ekosistem marin serta pemantauannya dengan tepat atau mengetahui hasil pemuliharaan yang telah dijalankan.

Dr Shahriman bersetuju bahawa kejayaan usaha pemantauan bergantung kepada penilaian tepat terhadap biodiversiti masa kini dan lampau. Usaha pemuliharaan marin semasa memberi tumpuan kepada peraturan perikanan, pembangunan pantai dan mengatasi pencemaran serta mengadakan penguatkuasaan kawasan perlindungan.

Maklumat yang tepat dan pengetahuan asas sains yang kukuh adalah kunci penting untuk menentukan pengurusan pemuliharaan yang baik.

Lautan, kata Dr Shahriman, begitu luas dengan kepelbagaian hidupan yang tersembunyi di kawasan-kawasan terpencil, berbahaya dan sukar untuk dilawati.

Akibatnya, kebanyakan spesies laut belum lagi diketahui atau ditemui dan dinamakan. Banyak yang akan pupus sebelum kewujudan spesies tersebut diperakukan.

Selain itu, kepelbagaian biologi lautan juga luas. Sebagai contoh, 33 daripada 34 keturunan utama kehidupan haiwan (Filum) terdapat dalam lautan berbanding dengan hanya 12 di daratan.

Usaha menyenaraikan kepelbagaian yang wujud itu adalah satu tugas besar yang memerlukan pendekatan dan cara berfikir yang baru.

EKOMAR di bawah Fakulti Sains dan Teknologi UKM bertujuan untuk menjadi suatu platform kepada penyelidik dari pelbagai disiplin akademik untuk melakukan penyelidikan secara keseluruhan terhadap ekosistem marin tropika terutamanya di Malaysia.

Pada masa ini penyelidik meliputi pelbagai disiplin akademik seperti sains marin dan kejuruteraan pantai. Mereka juga bekerja rapat dengan penyelidik dari universiti lain serta agensi tempatan yang lain termasuk Direktorat Oseanografi Kebangsaan, Jabatan Perikanan dan Jabatan Taman Laut Malaysia yang juga berpandangan sama mengenai kepentingan penyelidikan terhadap ekosistem marin.