Pensyarah Disaran Menjadi Pakar Runding Untuk Meningkatkan Kebolehan

ISNIN, 19 MEI 2014 16:44

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Abd Ra’ai bin Osman

BANGI , 19 Mei 2014 – Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) disaran menjadi pakar perunding untuk meningkatkan amalan pengajaran dan pembelajaran mereka sekali pun perlu turun padang dalam persekitaran yang tidak selesa.

Pensyarah Mekanik Bendalir Profesor Dr Mohd Sobri Takrif berkata perundingan membantu meluaskan rangkaian kenalan mereka termasuk dengan jurutera amali, pensyarah dari disiplin lain serta pegawai swasta dan jabatan kerajaan.

Beliau telah berkongsi pengalamannya sebagai seorang pakar runding di Wacana Perkongsian Amalan dalam Pengajaran dan Pembelajaran FKAB Siri 6: “Pengalaman Perundingan di Universiti Kebangsaan Malaysia” (UKM) di sini baru-baru ini.

Prof Sobri berkata idea baru untuk pengajaran dan pembelajaran dapat ditimba apabila bertindak sebagai seorang pakar perunding kerana wujudnya banyak bahan-bahan yang boleh diserapkan dalam kuliah mereka kepada pelajar.

Prof Sobri adalah salah seorang daripada lima anggota panel yang mempunyai pengalaman yang luas dalam kerja perundingan dengan sektor swasta dan kerajaan pada wacana itu.

Beliau berkata amalan pakar runding juga memberi pengalaman bagaimana sesuatu dapat dilakukan secara praktikal di dalam industri. Perundingan juga dilihat sebagai suatu peluang untuk pensyarah mencabar diri untuk maju.

Beliau berkata bahawa cabaran dalam perundingan melibatkan pengurusan masa untuk beralih di antara persekitaran kerja kepada tugasan yang tidak diketahui. Perunding dikehendaki tahu had profesional dan etika serta boleh pula menghadkan penglibatan supaya tidak terikat dengan kerja perundingan yang terlalu banyak pada sesuatu masa tertentu.

Pensyarah dari Jabatan Mekanikal dan Kejuruteraan Bahan, Prof Madya Dr Zainuddin Sajuri berkongsi pengalamannya yang lama sebagai perunding sejak 2007 termasuk penglibatannya dalam beberapa industri kecil yang memerlukan penyelesaian pantas seperti kemalangan berkaitan kren menara di Putrajaya.

Beliau berkata pengalaman seperti itu boleh membantu kajian pelajar pasca ijazah.

Arkitek Dr Mastor Surat, Felo Kanan dari Jabatan Seni Bina, yang mempunyai 25 tahun pengalaman sebagai arkitek profesional sebelum menyertai UKM berkata berasaskan pengalamannya beliau berusaha membentuk satu program seni bina berasaskan apa yang dikehendaki industri. Beliau berjaya mengamalkan teori-teori yang dibangunkan di universiti; peluang yang tidak wujud ketika beliau bekerja di luar UKM.


Ahli panel keempat Dekan FKAB Prof Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata mereka yang inginkan pendapatan tambahan boleh melibatkan diri dalam kerja-kerja perundingan. Bagaimanapun bidang perundingan, katanya, tidak sesuai untuk mereka yang ingin bekerja dalam persekitaran santai dan selesa.

Prof Madya Ir Dr Othman Jaafar, seorang pensyarah kanan di FKAB, juga menghuraikan pengalamannya ketika melakukan perundingan bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR). Beliau kemudian memilih menjadi pensyarah kerana persekitaran yang bercelaru di JKR.

Prof Othman berkata pakar runding biasanya dilantik untuk kerja tertentu apabila jurutera JKR tidak dapat melakukan semua tugas sendiri. Beliau juga menegaskan bahawa etika amat penting dalam bidang ini, misalnya beliau telah menolak projek perundingan yang boleh merosakkan alam sekitar.

Wacana itu dianjurkan FKAB dan dipengerusikan oleh Prof Madya Dr Roszilah Abdul Hamid, seorang pensyarah kanan.