Penyelidikan Perubatan Harus Berbaloi Dan Menghasilkan Produk

RABU, 14 MEI 2014 13:26

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Pix Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2014 – Penyelidik Sains Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan institusi lain perlu memastikan bahawa penyelidikan mereka berbaloi dan boleh menghasilkan produk dan program yang berguna.

Timbalan Naib Canselor (Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Nor Aziah Mohd Awal berkata keutamaan diberi kepada pelaksanaan program penyelidikan yang boleh menghasilkan produk yang memberi sumbangan kepada universiti dan negara secara keseluruhannya.

Berucap merasmikan Simposium ke-5 Sains Bioperubatan Malaysia di Fakulti Sains Kesihatan di sini hari ini, Prof Nor Aziah berkata UKM telah mengambil langkah untuk memastikan budaya penyelidikan adalah sebati dengan tujuan akademiknya dalam usaha memenuhi peranannya sebagai sebuah universiti penyelidikan.

Simposium dua hari itu dianjurkan oleh Kelab Sains Bioperubatan UKM dengan disertai kira-kira 100 orang pelajar tahun akhir daripada sembilan universiti awam dan swasta tempatan.

UKM, katanya, menggalakkan penyelidikan yang tertumpu kepada matlamat yang jelas dan mempunyai hala tuju yang tepat.

Beliau menegaskan bahawa kini telah wujud lonjakan pengetahuan dan keupayaan yang muncul dalam pelbagai bidang penyelidikan dari seluruh dunia. Oleh itu penyelidik harus meneliti bagaimana hasil pengetahuan itu dapat digunakan untuk kesejahteraan rakyat.

Beliau juga menerangkan bahawa UKM memberi pertimbangan serius terhadap penglibatan aktif kakitangan akademiknya dalam penyelidikan dan pengajaran, penyeliaan siswazah dan penerbitan untuk kenaikan pangkat.

Prof Nor Aziah gembira simposium itu telah menjadi satu perhimpunan tahunan untuk menggalakkan dialog yang produktif antara ahli-ahli bidang sains bioperubatan sambil menyediakan jaringan antara mereka yang datang dari pelbagai universiti yang terlibat.

Turut hadir Dekan Fakulti Sains Kesihatan Prof Dr Zamratol-Mai Sarah Mukari, Pengerusi Pusat Pengajian Diagnostik Sains Kesihatan Gunaan Prof Dato’ Dr Jamaludin Mohamed dan Ketua Program Sains Bioperubatan Prof Madya Dr Siti Balkis Budin yang menerajui simposium itu.