Program Titian Khidmat Masyarakat UKM Di Membakut Sabah

ISNIN, 05 MEI 2014 16:12

Oleh Abd Razak Hussin
Foto Mohd Hakim Sabudin

BANGI, 28 April 2014 – Warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk penduduk kawasan Membakut di Sabah baru-baru ini melalui Program Titian Khidmat Komunitinya.

Antaranya termasuk sesi membina kecemerlangan diri, bengkel teknik pembelajaran, pembangunan atlet serta acara sukan dan rekreasi. Ia dilangsungkan antara 17 hingga 20 April dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Kimanis, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Pendidikan.

Program Titian Khidmat Komuniti itu dilangsungkan sebagai sebahagian daripada rancangan Wawasan Membakut untuk membangunkan penduduk kawasan itu. Wawasan bertemakan “Membakut Membangun Bersama Ilmu” itu telah dilancarkan hampir 10 tahun lalu.

Bagaimana pun pengisian dan pengukuhannya masih perlu diusahakan dengan lebih serius serta melibatkan masyarakat secara menyeluruh supaya tidak ada anggota masyarakat tempatan yang tertinggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif ketika menutup program itu mewakili Ahli Parlimen Kimanis Datuk Sri Anifah Haji Aman berkata bahawa penglibatan lebih aktif daripada institusi keilmuan seperti UKM dan UMS amat diperlukan.

Wawasan Membakut adalah suatu program melibatkan semua anggota masyarakat dalam pembangunan baik fizikal mahu pun kerohanian, kebudayaan, kesenian dan peradaban. Wawasan itu mensasarkan generasi muda Membakut untuk menjadi generasi berilmu bagi membolehkan mereka menceburi profesyen kerjaya strategik serta perniagaan.

Membakut amat kaya dengan sumber semula jadi dengan pantai yang indah, hasil laut yang kaya, tanah yang subur dan budaya yang unik. Semuanya berpotensi untuk dibangunkan sebagai suatu usaha eko-pelancongan untuk kebaikan Sabah.

Datuk Ariffin menerangkan bahawa UMS dalam kajiannya mendapati tanah liat di Membakut mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai industri tembikar bermutu tinggi.

Turut hadir dalam majlis itu termasuk Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Harun Abdullah, Wakil Naib Canselor UKM, Haji Musa Zainal Abidin Othman dan Penolong Pegawai Daerah Membakut, Haji Sanudin Haji Ismail.