Tarif Air Perlu Dinaikkan Untuk Mengelak Pembaziran

RABU, 07 MEI 2014 14:52

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 5 Mei 2014 – Walaupun Malaysia adalah di antara negara yang menerima jumlah hujan yang tertinggi di dunia, tarif airnya perlu dinaikkan ke tahap lebih tinggi untuk menghalang orang ramai membazirnya.

Seorang penyelidik dari Universiti Putera Malaysia (UPM) Dr Haliza Abdul Rahman berkata pengguna perlu sedar bahawa air paip semakin berkurangan bukan sahaja oleh perubahan iklim tetapi juga kerana pembaziran dan kebocoran.

Membentangkan hasil penyelidikannya pada Persidangan ke-4 Habitat Manusia dan Alam Sekitar di sini hari ini, Dr Haliza berkata pada purata seorang rakyat Malaysia menggunakan 226 liter air sehari, suatu tahap yang tertinggi berbanding dengan penggunaan di semua negara jirannya. Malahan penggunaan air di Malaysia adalah lebih tinggi daripada Singapura yang lebih mewah.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu disedarkan bahawa bekalan air ada batasnya. Masalahnya, rakyat Malaysia menganggap air sebagai sesuatu yang murah berbanding bahan lain. Pada purata bil air untuk rumah adalah hanya 10% daripada bil elektrik kerana tarif air Malaysia adalah yang paling rendah di rantau ini.

Masalah pembaziran menjadi rumit lagi dengan paip yang membawa air kepada pengguna sudah usang. Kebanyakkan daripada paip itu sudah tua dan tidak pernah dibaik pulih selama beberapa dekad. Ini yang menyebabkan sehingga 36% daripada bekalan air dibazirkan kerana kebocoran.

Beliau mengakui bahawa politik juga memainkan peranan yang menyebabkan harga air begitu rendah. Umpamanya Kerajaan Negeri Selangor memberi percuma sehingga 20 meter padu air kepada semua pengguna di rumah.

Dr Haliza berkata kemarau dan kekurangan air baru-baru ini telah menonjolkan masalah asas, iaitu bekalan tidak bertambah sejak beberapa dekad lalu tetapi permintaan telah melonjak sebanyak 4% setiap tahun.

Peningkatan jumlah penduduk bandar dan pinggir bandar secara mendadak telah memberi penekanan kepada pembekal hingga menyebabkan Selangor mengenakan catuan air yang berpanjangan sehingga tiga bulan baru-baru ini.

Ditanya mengenai catuan air di Selangor yang dihentikan pada 30 April lalu walaupun simpanan air dalam takungan masih belum meningkat ke paras 60% kapasitinya, beliau mengakui ia telah melegakan pengguna.

“Sebagai pengguna, saya mahu bekalan air saya berterusan dan tidak terganggu,” katanya.

Walau bagaimanapun, Dr Haliza berkata orang ramai perlu lebih berdisiplin untuk membantu menyelesaikan masalah air. Ini mungkin tidak dapat ditentukan tanpa adanya penguatkuasaan.

Beliau berkata undang-undang ketat mengenai pembaziran air sahaja tidak akan memberi kesan yang diharapkan tanpa adanya penguatkuasaan yang tegas.

Beliau juga mencadangkan syarikat-syarikat pembekal air supaya membaiki atau menggantikan semua paip air lama dan mengurangkan penggunaan air untuk pertanian.

Beliau menganggarkan bahawa menjelang tahun 2030, separuh daripada penduduk dunia akan menghadapi kekurangan air akibat perubahan iklim.

Dr Haliza adalah profesor madya di Jabatan Alam Sekitar dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM .

Persidangan dua hari itu menarik seramai 30 orang penyelidik dari universiti-universiti awam. Ia dianjurkan bersama oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA ), Pusat Penyelidikan Sains dan Governans Kelestarian (SGK) Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Persatuan Pengurusan Alam Sekitar (EMS).