Ahli Debat Bahasa Arab Pemenang Anugerah Pelajar Diraja

AHAD, 02 NOVEMBER 2014 11:03

Oleh Shahfizal Musa
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 November 2014 – Nurul Iman Mohamad Anuar Kamal pemenang Anugerah Diraja di Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ke-42 hari ini adalah seorang yang cemerlang bukan sahaja dalam pelajaran bahkan dalam aktiviti kemasyarakatan.

Beliau juga mampu berdebat dalam bahasa Arab suatu yang tidak mudah dicapai mahu pun oleh orang Arab sendiri. Beliau telah menyertai perdebatan dalam bahasa Arab di serata Asia.

Bagaimanapun Nurul Iman tidak menganggapnya sebagai suatu keistimewaan. Malah beliau telah menyertai kumpulan debat bahasa Arab untuk memperbaiki kefasihan bahasa Arabnya.

Apabila berdebat dalam bahasa Arab, ia memaksanya untuk berfikir dengan cepat untuk membuat ayat serta menyusun hujah. Perkara itu perlu dilakukan dalam masa yang singkat.

Anak perempuan sulung dari tiga beradik ini berasal dari keluarga susah. Bapanya pernah menjadi tukang besi dan ibunya pernah berkerja sebagai perkerja kilang untuk membesarkan mereka sekeluarga.

Beliau masih ingat kesusahan ibu bapanya menyara keluarga dan berazam untuk belajar bersungguh sungguh agar dapat membantu keluarga.

Sebaik mendapat berita bahawa beliau dipilih untuk menerima Anugerah Diraja, Nurul Iman terus menelefon bapanya.

Ini kerana bapanya sering berkata beliau tidak kira berapa penat sekali pun bekerja untuk menyara keluarga, segala keletihan akan lenyap dan berbaloi apabila melihat anaknya berjaya.

Nurul Iman berkata seseorang yang berhasrat hendak berjaya harus bersedia untuk bekerja keras tanpa mengambil jalan pintas.

Beliau juga menyatakan bahawa dia bukanlah seorang pelajar yang sentiasa cemerlang, malah adalah seorang pelajar yang mempunyai pencapaian biasa, terutama semasa mengambil diploma.

Tetapi semuanya berubah apabila beliau menyambungkan pelajaran di UKM. Sokongon dan dorongan serta peluang yang diberikan oleh pihak universiti membolehkannya membuktikan kebolehan dirinya.

Nurul berkata suatu lagi peristiwa yang membuat beliau bersungguh-sungguh ialah apabila bapanya telah hilang pekerjaan berikutan tempat bapanya berkerja sebagai tukang besi dijual. Kejadian itu memberi kesan kepadanya dan mendorongnya untuk belajar lebih bersungguh-sungguh.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara pelajaran, aktiviti kokurikulum dan khidmat masyarakat, Nurul Iman berkata beliau berpegang kepada jadual dan pengurusan masa.

Beliau kagum dengan ibu bapanya. Bapanya yang hilang pekerjaan telah bangun semula dan membuka perniagaan sendiri. Manakala ibunya telah menjadi seorang guru matematik di sebuah sekolah di Sungai Petani.

Nurul Iman mempunyai contoh yang baik dan menganggap kejayaannya bukan hasil usahanya sahaja tetapi adalah berkat doa ibu bapa.