Apa Yang Mendorong Prof Dato’ Wan Hashim Untuk Berjaya

SELASA, 04 NOVEMBER 2014 17:36

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 November 2014 –  Pengalaman berjumpa dengan beberapa orang mahasiswa Melayu dari Universiti yang jauh mendorong mantan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Profesor Dato’ Dr Wan Hashim Wan Teh untuk menjadi seorang pegawai yang berkelulusan tinggi.

Prof Wan Hashim, 65 tahun, berkata beliau juga pernah ingin menjadi seorang wakil rakyat memakai gelaran ‘Yang Berhormat’.

Demikian cerita riwayat ringkasnya yang disampaikan setelah menerima gelaran Professor Emeritus pada sesi ke-6 konvokesyen ke-42 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau telah bertemu dengan beberapa orang rakan abangnya yang menuntut di Universiti Malaya Singapura yang kemudian menjadi tokoh kerajaan dan korporat seperti Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, Dato’ Zainal Abidin Salleh, Tan Sri Mohd Yusuf Hitam dan Allahyarham Jamsari Mohamad.

Beliau kagum dengan mereka apabila sekumpulan mahasiswa dari Singapura itu melawat kampungnya di Gerik, Perak.

“Mereka hebat-hebat belaka. Beginilah aku nak jadi, macam dema yang nampak segak dan pandai,” kata Prof Wan Hashim mengimbau kembali detik-detik sebelum melanjutkan pelajarannya.

Prof Wan Hashim berkata beliau juga bermimpikan menemui bintang filem Hindustan kerana meminati filem-filem itu. Beliau semasa kecil bercita-cita menjadi seorang pegawai daerah atau penyanyi dan pengarah filem.

Namun beliau juga minat bermain muzik seperti piano dan gitar ketika di Sekolah Menengah Clifford Kuala kangsar. Ketika itu beliau tidak sangka akan menjadi seorang sarjanawan menceburi dunia akademik.

Impiannya untuk memasuki universiti menjadi nyata apabila melanjutkan pelajarannya ke Monash University Australia, di mana beliau telah mengubah haluan cita-citanya.

Apabila kembali ke tanah air, beliau telah berkhidmat dengan UKM tetapi tarikan untuk berjinak dengan politik mendorongnya menjadi calon pilihan raya setelah 30 tahun menjadi seorang akademik.

Ada di kalangan rakan-rakan sejawatnya di UKM yang menganggapnya ‘gila’ kerana meninggalkan dunia akademik untuk bertanding dalam pilihan raya.

Kata beliau kepada mereka, “Kehidupan di dunia akademik tidaklah begitu tenteram sebagaimana kehidupan dalam dunia politik juga tidaklah begitu kegila-gilaan” (Neither life in the academic world is that peaceful nor life in the world of the politicians is that crazy). es

Beliau tidak menyesal dengan segala keputusannya sepanjang kariernya walaupun terdapat pengalaman pahit.

Sehingga kini, Prof Wan Hashim telah mengarang dan menyunting sejumlah 42 buku termasuk bahan-bahan di bawah naungan Majlis Raja-raja Melayu.

Kini Prof Wan Hashim berkhidmat sebagai pemimpin di beberapa institusi pendidikan dalam negara.