Hidupkan Kereta Hanya Dengan ‘Power Bank’

ISNIN, 03 NOVEMBER 2014 11:15

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 November 2014 – Salah satu produk yang dijual di gerai usahawan di Konvokesyen ke-42 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sedang berlangsung adalah sejenis power bank yang dapat menghidupkan kereta mempunyai bateri lemah.

Alat tersebut di demonstrasikan oleh Sarcasteek, salah satu syarikat bisnes sosial yang ditubuhkan oleh Saiful Nang seorang jurufoto jutawan .

Sarcasteek adalah salah satu daripada syarikat milik Rumah Pengasih dan Warga Prihatin (RPWP) sebuah rumah kebajikan pembangunan akhlak anak yatim.

RPWP diasaskan oleh 20 orang individu termasuk Saiful Nang. Mereka menyumbangkan semua pendapatan dari perniagaan mereka untuk menyokong RPWP.

Gerai tersebut juga menjual baju-t yang mungkin dibeli si isteri kepada suaminya. Baju itu dicetak dengan ayat seperti “lelaki kacak selalunya adalah suami orang” dan “Hak milik isteri saya”.

Salah seorang dari pengasas Sarcasteek yang berada di gerai itu Ahmad Khairudin Mohd Nor, berkata gerai diadakan untuk memberi pendedahan keusahawanan kepada kanak-kanak RPWP.

Mereka yang berada digerai itu berumur antara 9 hingga 14 dan petah bercakap seperti jurujual lain.

Ahmad bagaimana pun berkata kanak-kanak itu pada mulanya pendiam kerana mengalami trauma kehilangan ibu bapa sehinggakan mereka tidak mahu senyum langsung dalam tempoh enam bulan pertama di rumah itu.

RPWP mengunakan konsep perniagaan sosial untuk membiaya seramai 120 orang kanak-kanak demikian. Selain dari Sarcasteek, RPWP juga memiliki kedai kereta terpakai, akademi fotografi dan juga galeri. Semua pendapatan dari perniagaan itu digunakan untuk membiayai penyelenggaraan dan operasi rumah itu.

Kanak-kanak di RPWP diajar bagaimana menjadi usahawan dan dibimbing langkah demi langkah. Sarcasteek sendiri  dikendalikan oleh seorang bekas penghuni rumah RPWP.

Semua hasil keuntungan dari setiap jualan digunakan untuk progam membangunkan ahlinya.

RPWP mengambil kanak-kanak bermasalah, yatim dan juvena dan mendidik mereka menjadi usahawan dan ahli masyarakat yang berguna.

Kegiatan perniagaannya membolehkan rumah kebajikan itu dapat berdikari dengan menjana kewangan sendiri. Ia boleh lawati di www.prihatin.net.my.

Bagaimana pun sesiapa yang ingin menyumbang sambil memberikan senyuman kepada isteri dengan membeli baju-t boleh melawat www.sarcasteek.com.