Kegemukan Dan Pemakanan Tidak Seimbang Perlu Ditangani

SELASA, 04 NOVEMBER 2014 17:28

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 November 2014 – Pemakanan tidak seimbang perlu dibendung di negara ini kerana ia kini semakin menjadi tidak terkawal.

Pakar makanan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Mohamed Ismail Mohd Noor berkata masalah kegemukan (obesiti) dan pemakanan tidak seimbang boleh menjadi lebih serius kerana gaya hidup dan salah faham mengenai khasiat makanan.

Prof Ismail, mantan Timbalan Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB), berkata masalah itu boleh ditangani dengan pendidikan dan sebaran maklumat, khasnya di sekolah- sekolah dan pusat-pusat perubatan.

Berucap selepas dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada sesi ke-5 Konvokesyen ke-42 UKM di sini hari ini, beliau bimbang jika kedua masalah itu tidak dikawal, akan memberi kesan buruk kepada kesihatan kanak-kanak dan remaja negara ini.

Semasa menjadi Ketua Jabatan Pemakanan dan Dietik (1998-2005) di FSKB beliau telah melakukan penyelidikan mengenai pemakanan dan mendapati wujud jurang besar pemakanan di antara negara-negara membangun dan maju.

Di negara-negara membangun berlaku pemakanan tidak seimbang kerana kekurangan protein hingga berlaku gangguan kesihatan yang membawa maut kepada kanak-kanak.

Bagaimanapun di Malaysia masalah ketidakseimbangan makanan lebih merupakan salah faham mengenai nilai pemakanan. Orang Malaysia terlalu banyak makan protein dan lemak yang berpunca daripada makanan segera.

Prof Ismail ialah Felo Persatuan Sains Malaysia dan khidmat nasihat beliau sering digunakan dalam penggubalan dasar-dasar pemakanan untuk ahli sukan.

Dekan FSKB Prof Dr Siti Zamratol-Mai Sarah Mukari yang memperkenalkannya berkata Prof Ismail adalah seorang pakar pemakanan yang disegani diperingkat antarabangsa terutama dalam bidang keperluan tenaga.

Prof Siti Zamratol-Mai berkata hasil penyelidikannya telah diterbitkan dalam lebih daripada 12 buah buku.

Prof ismail juga pernah menjadi ahli lembaga penyunting bagi jurnal antarabangsa berimpak tinggi seperti British Journal of Nutrition dan Annals of Nutrition.