Malaysia Ketinggalan Jauh Berbanding Korea Selatan dan Taiwan, Kata Pakar Sosiologi Terkemuka

JUMAAT, 28 NOVEMBER 2014 08:14

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 24 November 2014 – Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara perlu berusaha lebih gigih jika mahu setanding dengan jiran-jiran di timur laut seperti Korea Selatan, Taiwan dan China.

Profesor Jan Nederveen Pieterse dari University of California, Santa Barbara berkata terdapat perbezaan ekonomi yang ketara dengan negara-negara Asia Timur walaupun rantau ini dilabel secara bersama sebagai “Keajaiban Asia Timur’ oleh Bank Dunia.

Berucap pada Syarahan Umum ke-9 Kursi Pok Rafaeh di sini hari ini, Prof Pieterse berkata walaupun ada lapan buah negara Asia Timur, antaranya Malaysia, Thailand dan Indonesia,  yang dilonggokkan bersama dengan jiran mereka di timur laut terdapat jurang besar antara mereka dalam kedudukan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pengagihan pendapatan.

Beliau kini memegang kursi Profesor Unggul Pok Rafeah bagi Pengajian Antarabangsa di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) UKM.

Dalam syarahannya bertajuk Apa Yang Berlaku Kepada Lapan Negara Hebat? Pandang Ke Timur, Abad Ke-21, beliau yang juga Profesor Mellichamp Pengajian Global dan Sosiologi di UC Santa Barbara, berkata bahawa ukuran menilai pembangunan ekonomi sesebuah negara hanya kepada bangunan pencakar langit dan lebuhraya berbilang lorong sahaja adalah tidak sesuai lagi.

Beliau berkata KDNK per kapita di negara-negara timur laut Asia adalah tinggi dengan perbedaan kedudukan ekonomi rakyat mereka tidak terlalu ketara berbanding negara-negara Asia Tenggara di mana KDNK per kapita mereka adalah rendah manakala jurang perbedaan kedudukan ekonomi antara rakyat berada dengan yang berkurangan adalah tinggi.

Jika Malaysia mahu melepaskan diri daripada ‘perangkap pendapatan sederhana’ ia mesti beralih daripada kedudukannya sekarang sebagai sebuah negara industri ringan yang bergantung kepada pekerja asing tidak mahir. Selepas 35 tahun apakah Malaysia mahu terus dianggap sebagai negara industri pemasang bernilai rendah?

“Perindustrian Malaysia telah terbantut pada peringkat nilai rendah, industri kemahiran rendah seperti elektronik dasar yang rendah yang bergantung pula kepada buruh asing tidak  berkemahiran,” kata beliau.

Kedudukan perindustrian yang bergantung kepada elektronik dasar dan terhad demikian telah mendedahkan negara kepada tekanan persaingan eksport China. Maka itu pada 1990 China telah mengatasi Malaysia menerima pelaburan langsung asing (FDI), sebanyak 9 peratus daripada jumlah dunia, berbanding tujuh peratus bagi Malaysia.

Menjelang tahun 2002, FDI China telah meningkat kepada 33 peratus manakala bahagian Malaysia telah menurun kepada dua peratus sahaja.

Prof Pieterse berkata pada tahun-tahun 1990an negara-negara membangun telah “pandang ke timur” kerana Korea Selatan dan Taiwan telah menjadi negara paling maju di kalangan negara perindustrian baru.

Dalam pada itu tidak terdapat mana-mana negara di Asia Tenggara yang berjaya menjana jenama produk industri mereka di peringkat antarabangsa selain percubaan mereka untuk mengadakan industri berat amat tidak memuaskan.

Di Malaysia tindakan afirmatif etnik memainkan peranan penting dalam usaha untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Malangnya ia juga menghasilkan Melayu yang mahu kekayaan segera dengan menyewa projek yang mereka terima bukannya mahu berusaha sendiri.

Keadaan demikian menyebabkan pandangan negatif terhadap usaha itu hingga ada yang mengatakan ia menjadi penghalang  kepada pembangunan ekonomi negara.

Tindakan membantu bumiputera telah ketara sejak awal lagi tetapi lama kelamaan ia telah terpesong daripada matlamat asal dan telah menjadi alat di tangan elit hingga tidak hiraukan kritikan, kata Prof Pieterse.

Beliau menyimpulkan bahawa matlamat Wawasan 2020 mahu menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 tidak secocok dengan penubuhan institusi berdasarkan kaum dan agama.

Syarahan itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Ir Dr Zawawi Ismail dan Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli.

Prof Pieterse adalah seorang sarjana terkenal dalam bidang sosiologi dan kajian global dan adalah salah seorang pemikir terkemuka mengenai globalisasi. Tumpuannya sekarang adalah mengenai globalisasi abad ke-21.

Sebelum ini beliau berkhidmat dengan Maastricht University; University of Illinois; Urbana-Champaign; Institut Kajian Sosial, The Hague; University of Cape Coast, Ghana dan Universiti Amsterdam. Beliau juga menjadi profesor pelawat di 14 buah negara – Argentina, Brazil, China, Jerman, Perancis, India, Indonesia, Jepun, Pakistan, Afrika Selatan, Sri Lanka, Sweden, Thailand dan kini Malaysia. Beliau telah menerbitkan sejumlah 21 buah buku sebagai pengarang/editor selain menerbitkan banyak artikel jurnal selain menganjurkan persidangan tahunan Kajian Global.