Malaysia Perlu Lebih Berwaspada Terhadap Penyakit Yang Merebak Di Seluruh Dunia

SELASA, 04 NOVEMBER 2014 16:41

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 November 2014 – Negara perlu berwaspada terhadap gejala wabak penyakit yang sedang merebak dengan pantas di seluruh dunia.

Mantan Dekan Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Tan Sri Prof Dato’ Dr Mohd Salleh Mohd Yasin berkata walaupun negara telah berjaya menangani beberapa penyakit berjangkit, kini terdapat gejala penyakit lain pula yang mengancam dunia.

Beliau menyeru pihak berkuasa mengadakan penelitian lebih rapi terhadap penyakit tidak berjangkit seperti sakit jantung, barah dan kencing manis yang telah mencecah 60% daripada semua penyakit dalam negara.

Prof Mohd Salleh berucap demikian selepas menerima penganugerahan gelaran Profesor Emiritus daripada Canselor UKM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada sidang ke-5 Konvokesyen ke-42 UKM di sini hari ini.

Beliau menyifatkan gejala penyakit demikian boleh memberi ancaman hingga membawa kesan buruk pada negara pada masa hadapan.

Usaha membentaras penyakit berjangkit dan tidak berjangkit dipersetujui oleh negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam Matlamat Pembangunan Alaf atau Millenium Development Goals pada tahun 2000.

Dalam hal ini Prof Mohd Salleh berharap UKM akan meneruskan usaha penyelidikkan ke arah membantu negara memerangi penyakit-penyakit demikian.

Prof Mohd Salleh adalah dekan pertama Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UKM yang telah ditubuhkan pada tahun 1992, iaitu yang pertama diasaskan di Malaysia menawarkan Ijazah Sarjanamuda. Sebelum itu universiti lain hanya menawarkan kursus demikian pada peringkat
diploma sahaja.

Kemuncak kecermerlangan dan ketokohannya adalah pada tahun 2003 apabila dilantik sebagai Naib Canselor UKM sehingga bersara pada tahun 2006.

Prof Mohd Salleh memulakan kerjayanya di UKM pada tahun 1974. Beliau kemudiannya dilantik sebagai tutor di Jabatan Mikrobiologi dan Imunologi Perubatan, Fakulti Perubatan. Seterusnya beliau menyambung pengajian dengan memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di University Bath di Britain.