Pelbagai Peluang Kerjaya Untuk Wanita

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 16:20

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Izwan Azman

BANGI, 18 November 2014 –  Hak dan keupayaan golongan wanita tidak lagi dipandang ringan oleh masyarakat dengan wujudnya banyak program untuk memberi khidmat selain menentukan kebajikan kepada wanita.

Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim (PKWTFH) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Bahiyah Dato’ Abdul Hamid berkata golongan hawa tidak lagi diabaikan sebagaimana keupayaan mereka juga sudah tidak lagi diperkecilkan.

Beliau telah berucap pada Program Jaringan Sarjana Wanita anjuran bersama PKWTFH dan Yayasan Suara Wanita (YASNITA) di sini hari ini.

Dr Bahiyah berkata PKWTFH ditubuhkan untuk meningkatkan tahap kepimpinan golongan wanita di Malaysia dengan mengaplikasi ilmu dan kepimpinan wanita berteraskan kepada penyelidikan.

Penubuhan PKWTFH juga adalah antara usaha untuk membina dan mengembangkan ilmu kepimpinan kepada wanita melalui latihan dan pendidikan terancang, khususnya yang masih berpegang kepada asas budaya tempatan.

“PKWTFH memberi fokus kepada kepimpinan wanita dalam pendidikan, pengurusan, perniagaan dan pertumbuhan komuniti,” tambah beliau.

Ia juga menyediakan landasan untuk perkembangan ilmu serta ruang yang kondusif untuk warga UKM serta masyarakat berkongsi pengalaman, kata Dr Bahiyah.

Ahli Lembaga Eksekutif YASNITA, Dr Hasnah Ismail berkata YASNITA pula telah melaksanakan pelbagai agenda, antaranya Program Wanita di Tempat Kerja bertujuan melahirkan wanita berkemahiran tinggi, produktif serta bertanggungjawab.

Bagi merealisasikan hasrat itu, YASNITA telah merancang pelbagai kaedah, antaranya memajukan pelbagai skim latihan dan pendidikan, skim pinjaman dan bantuan kewangan kepada golongan wanita, kata Dr Hasnah.

Selain itu, khidmat work/life balance di tempat kerja turut diadakan kepada wanita yang bekerja.

Program Wanita Usahawan juga turut diadakan khusus kepada bakal usahawan wanita bagi membolehkan mereka berdaya saing dan maju, kata Dr Hasnah.