Seruan Supaya Lebih Ramai Rakyat Malaysia Kerja Sukarela

RABU, 05 NOVEMBER 2014 08:44

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 4 November 2014 – Lebih ramai rakyat Malaysia perlu  menjadi sukarelawan untuk membantu mangsa bencana alam, peperangan dan kebuluran di seluruh dunia.

Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata  rakyat Malaysia harus membantu mereka yang kurang bernasib baik. Beliau, seorang doktor perubatan, adalah alumni UKM.

Pesanan Dr Jemilah itu dibacakan oleh Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Prof Dr Rashila Haji Ramli setelah beliau dikurniakan PhD Kehormat (Kemanusiaan dan Kesejahteraan Global) oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada sesi ke-7 Konvokesyen ke-42 UKM di sini hari ini.

Dr Jemilah tidak dapat hadir kerana sedang bertugas di luar negara tetapi anugerah itu telah diterima oleh suaminya, Datuk Dr Ashar Abdulah. Ia disampaikan oleh Pro Canselor UKM Tunku Laxmana Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar.

Kedua-dua anak lelaki mereka Adam Ashar dan Omar Ashar hadir di upacara itu.

Prof Rashila berkata Dr Jemilah dan Mercy Malaysia memang terkenal dengan usaha sukarela memberi bantuan kemanusiaan kepada mangsa terutamanya wanita dan kanak-kanak.

Dr Jemilah sering berkhidmat memberi bantuan kepada mangsa peperangan dan bencana alam di Kosovo, Baghdad, Syria, Somalia dan Kambodia.

“Jika disebut tentang bakat dalam pengurusan kemanusiaan, perundingan dan timbangtara di peringkat antarabangsa, namanya tidak asing lagi,” kata Prof Rashila.

“Kata Dr Jemilah, dunia sedang menghadapi cabaran yang amat besar, dengan masalah ketidakpastian pemakanan, impak iklim global, kacau bilau, krisis pelarian serta isu kemanusian. Ini semua membawa kesan kepada ekonomi.

“Nama baik negara bukan terletak pada bangunan megah dan pencakar langit atau pendapatan tinggi. Saya terkilan tidak dapat hadir tetapi keluarga saya mewakili saya dalam dewan ini,” kata Prof Rashila membaca perutusan Dr Jemilah.

MERCY Malaysia bergiat aktif di kawasan-kawasan sengketa dan bencana memberi bantuan kemanusiaan, pemeriksaan kesihatan dan perundingan.

Dr Jemilah melalui kegiatannya itu telah memastikan MERCY Malaysia diiktiraf sebagai suatu pertubuhan pertama di Asia dan ketiga di dunia diiktiraf sebagai Humanitarian Accouintability Partnership.

Pengiktirafan itu memastikan MERCY Malaysia mencapai pemiawaian antarabangsa dari segi tanggungjawab dan ketelusan di dalam operasinya.


Ucapan balas Tan Sri Dr Jemilah Mahmood sempena penganugerahan PhD Kehormat (Kemanusiaan dan Kesejahteraan Global). KLIK DI SINI UNTUK MENONTON VIDEO