Siasat Dengan Teliti Dahulu Sebelum Keluarkan Fatwa, Dr M

JUMAAT, 14 NOVEMBER 2014 17:41

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 November 2014 – Fatwa perlu dikeluarkan hanya setelah pandangan daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang termasuk ulamak diperolehi.

Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ulama harus memberi perhatian kepada pakar-pakar perubatan, psikologi, psikiatri, sosiologi dan ahli akademik sebelum menilai seseorang atau sesuatu itu bercanggah dengan ajaran Islam.

Beliau memberitahu pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH-UKM) 2014 UKM di sini hari ini bahawa Fatwa mestilah berdasarkan penyelidikan dan perbahasan serta prinsip-prinsip Islam.

Tun Mahathir berkata fatwa oleh ulama semata-mata adalah tidak mencukupi dan tidak dapat diterima oleh sesetengah pihak kerana terdapat tafsiran yang berbeza mengenai hukum-hukum Islam.

“Kita perlu Fatwa kerana terdapat banyak cabaran yang dihadapi oleh umat Islam. Fatwa perlu dibuat hanya selepas kajian menyeluruh dan perbincangan dengan pakar-pakar termasuk realiti kehidupan,” tambah beliau.

Beliau diminta mengulas keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang mengisytiharkan peruntukan dalam Enakmen jenayah Syariah Negeri Sembilan yang melarang lelaki memakai pakaian wanita atau menukar jantina sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan.

Tun Mahathir berkata lelaki yang menukar jantina atau transgender dilahirkan “meragui jantina mereka; mereka mungkin kelihatan seperti seorang lelaki tetapi sebenarnya wanita dan sebaliknya.”

Beliau berkata Al-Quran adalah sempurna tetapi yang menjadi isu sekarang ialah tafsiran Kitab Suci yang boleh menjadi tidak tepat dan menjadi tidak relevan dengan peredaran zaman.

“Kita perlu menyelidik secara mendalam, meminda ajaran semasa Islam. Kita mesti kembali kepada sumber sebenar agama, iaitu Al-Quran,” tegas beliau.

Persidangan ICOSH-UKM yang ke-5 adalah satu forum membahaskan konsep dan kajian dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan yang boleh menyumbang kepada tamadun yang lebih baik.

Matlamatnya adalah untuk membina kerjasama ke arah kecemerlangan akademik dan penyelidikan di kalangan ahli akademik dan peminat ilmu.