Undang-Undang Berkaitan Perlu Diadakan Sebelum Loji Nuklear Didirikan

JUMAAT, 07 NOVEMBER 2014 16:44

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 6 November 2014 – Malaysia perlu mengadakan undang-undang mengenai bahan buangan nuklear yang berbahaya dahulu sebagai persediaan sebelum loji kuasa nuklearnya yang pertama dibangunkan menjelang tahun 2021.

Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dato’ Dr Aishah Bidin berkata kerajaan harus memastikan bahawa pembuangan sisa radioaktif mematuhi suatu gugusan undang-undang yang menyeluruh sebelum loji itu diadakan.

Undang-undang yang ada sekarang mengenai pembuangan sisa amat berbahaya hanya tertumpu kepada bahan buangan berjadual yang dihasilkan oleh industri dan sisa pepejal perbandaran bukan untuk sisa penjanaan kuasa nuklear, tambah beliau.

Prof Aishah telah membentang kertas kerja penyelidikannya bertajuk Rumusan Peruntukan Undang-undang dalam Pengurusan Pelupusan Sisa Radioaktif Dengan Selamat di Malaysia pada sesi pertama Kongres Penyelidikan dan Inovasi 2014 di sini hari ini. Kongres itu dianjurkan oleh nic Politik dan Keselamatan UKM.

Beliau mencadangkan kerajaan dengan serius mengkaji semula undang-undang untuk mematuhi semua 10 ketetapan konvensyen Perjanjian Kawalan Nuklear (NPT) dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Setakat ini Malaysia hanya memenuhi empat syarat konvensyen itu.

Prof Aishah berkata terdapat beberapa keperluan asas yang harus dipenuhi, seperti protokol untuk perlindungan, pencegahan keganasan nuklear dan hak asasi rakyat Malaysia yang masih belum diselesaikan.

Beliau berkata masyarakat mesti dimaklumkan mengenai apa yang mungkin boleh berlaku jika sebuah loji kuasa nuklear dibangunkan.

Katanya pasti akan ada tentangan terhadap penubuhan loji itu yang memerlukan rundingan atau dialog dengan mereka yang terlibat secara langsung.

Prof Aishah memberi contoh pengalaman loji pemprosesan sisa nuklear Lynas di Gebeng, Pahang yang menunjukkan tidak terdapat sebarang rundingan atau dialog dengan penduduk tempatan untuk meyakinkan mereka mengenai keselamatannya.

Apatah lagi loji nuklear yang dicadangkan akan didirikan di atas tanah TOL yang perlu diperbaharui secara berkala pula.

Beliau berkata orang ramai akan terdedah kepada banyak bahaya yang mungkin timbul jika pembuangan bahan-bahan buangan nuklear tidak diurus dengan baik dan tidak mematuhi peraturan-peraturan antarabangsa yang sedia ada.

Kongres itu telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar.