Usaha Gigih UKM Membuahkan Hasil Kata Naib Canselor

SABTU, 01 NOVEMBER 2014 19:23

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 November 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan terus memelihara teras dan asas kewujudannya bagi memperjuangkan kedudukan bangsa dan negara di atas landasan budaya pribumi dan Islam.

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM mengambil kira cabaran dan harapan semasa yang semakin besar dan beragam untuk menggerakkan seluruh sumbernya bagi mencapai matlamat tersebut.

Berucap pada Sesi Pertama Majlis Konvokesyen UKM Ke-42 di sini hari ini, Prof Noor Azlan berkata usaha demikian menjadi nyata apabila UKM disenaraikan pada kedudukan 259 universiti terbaik dunia pada tahun ini mengikut penarafan QS University Ranking.

Oleh itu, katanya, UKM berusaha secara terus memperbaiki taraf akademiknya dengan meningkatkan bilangan penerima ijazah doktor falsafah pada tahun ini kepada 522 orang, manakala 2,243 lagi menerima ijazah sarjana – kedua-duanya yang terbanyak dalam sejarahnya.

Penganugerahan ijazah doktor pakar perubatan dan pergigian bertambah kepada 190 orang manakala ijazah sarjana muda meningkat kepada 3,433 orang.

Pada keseluruhannya seramai 6,266 graduan menerima ijazah pada konvokesyen kali ini yang berlangsung hingga selasa.

Prof Noor Azlan berbangga bahawa bilangan alumni UKM kini sudah meningkat kepada 170,112 orang. Ia adalah suatu jaringan besar dan luas yang boleh memberi sumbangan kepada UKM. Malahan UKM kini telah menjadi pilihan utama pelajar dari 50 negara.

Walaupun UKM adalah berteraskan budaya pribumi tetapi ia tetap menggalakkan siswazahnya mempelajari dan menguasai bahasa utama dunia.

Konvokesyennya pada tahun ini merupakan kali pertama ia mengundang alumninya menghadiri majlis itu.

Sesi pertama konvokesyen ini memperlihatkan penganugerahan ijazah kepada graduan doktor falsafah, fakulti perubatan (sarjana kepakaran), fakulti pergigian (sarjana kepakaran) dan fakulti undang-undang.