Kekecewaan Jepun Dengan Perang Dunia Pertama Punca Perang Pasifik

RABU, 06 OGOS 2014 16:48

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Muhamad Ikhwan Zulhimi (pelatih UiTM)

BANGI, 5 Ogos 2014 – Perang Asia Tenggara dan Pasifik 1941-1945 mungkin berpunca daripada kekecewaan Jepun terhadap layanan yang diterima daripada sekutu-sekutunya, Eropah dan Amerika Syarikat, walaupun telah memenangi Perang Dunia Pertama bersama mereka.

Seorang Profesor dari Jabatan Sejarah, Klasik dan Arkeologi, Birkbeck, Universiti London (UK) Dr Naoko Shimazu berkata Jepun sebagai sebuah negara moden pada awal abad ke-20 menganggap dirinya setanding dengan negara-negara Barat, termasuk sebagai kuasa tentera utama.

Beliau telah menyampaikan ceramah bertajukBagaimana Kedudukan Jepun dalam Perang Dunia Pertama? di sini baru-baru ini dengan menghuraikan peranan yang dimainkan Jepun, satu-satunya kuasa besar Asia pada masa itu, dalam Perang Dunia Pertama dan kesannya kepada masyarakat Jepun.

Ceramah itu dianjurkan oleh Pusat Kajian Oksidental (IKON) dari Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di bawah program kajian Eropah yang sedang dibangunkan. Beliau memberi pandangannya mengenai konflik yang dikenali sebagai perang Eropah dari sudut Asia.

Prof Shimazu berkata Jepun pada masa itu menjangkakan akan dilayan sama seperti negara-negara Eropah yang menang dan menuntut habuannya untuk menaluki wilayah yang di tawan dalam perang itu.

Bagaimanapun, tidak lama selepas berakhirnya perang 1914-1918 itu, Amerika Syarikat, Britain dan Perancis – sekutu-sekutunya yang juga tiga negara paling berkuasa dalam Liga Bangsa – telah memaksanya melepaskan wilayah yang ditawan dari Jerman, seperti Quingdao di China.

“Jepun mempunyai pengalaman luas dalam perang menjelang tahun 1914. Ia memenangi dua perang antarabangsa pada tahun 1894-1895 dan 1904-5. Oleh itu, ada kesinambungan dalam aktiviti perang Jepun yang mengaitkan pengalaman perang 1914-1918 dengan Perang Rusia-Jepun 1904-5 dalam ‘diplomasi kemanusiaan’ Jepun yang mana ia memberi layanan baik kepada tawanan perang Jerman selepas pengepungan Qingdao,” katanya.

Bekas sekutunya juga telah mengemukakan resolusi di Liga Bangsa-Bangsa, yang mengehadkan pengembangan wilayahnya serta menyekat pembesaran tentera lautnya pada tahun 1921.

Jepun kecewa terhadap layanan yang dianggapnya sebagai pilih kasih dan perkauman, lalu keluar daripada Liga itu dan menjalankan dasar pengambilalihan wilayah di China yang ia mendakwa tidak berbeza daripada penjajahan Eropah di Asia dan Afrika.

“Politik perkauman memainkan peranan. Jepun marah kerana apa yang ia lihat sebagai sentimen anti-Jepun yang ketara di Britain dan Amerika. Jepun berasa bahawa ia di diskriminasi dalam rundingan damai Paris,” kata Prof Shimazu.

Tokyo juga membangunkan lagi tentera laut dan mempunyai rancangan menakluki Asia Tenggara, seperti mana Britain dan Perancis menjajah wilayah tersebut. Asia Timur merupakan satu-satunya rantau yang dianggap penting oleh Barat.

Jepun tidak fikir ia bersalah kerana Britain dan Perancis telah pun melakukannya lebih lama dari itu dan berfikir ia juga mempunyai hak untuk mengadakan wilayah pengaruhnya.

Turut hadir Timbalan Pengarah IKMAS Prof Dr Tham Siew Yean dan Felo Kanan Prof Madya Dr Zarina Othman, Dr Sumit K Mandal dan Felo Dr Helen Ting Hung Mu.

Ceramah itu adalah sebahagian daripada persidangan ulang tahun ke-100 Perang Dunia Pertama yang dianjurkan oleh IKON.