Mantan Pro-Canselor UKM Tengku Ahmad Rithaudeen Di Raikan

KHAMIS, 28 OGOS 2014 12:22

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghargai jasa-jasa Tengku Tan Sri Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail sebagai Pro-Canselor dengan menganjurkan majlis makan malam Sanjungan Budi Pro-canselor di sini malam ini.

Beliau melepaskan jawatan tersebut awal tahun ini setelah menyandangnya selama 22 tahun, iaitu yang paling lama bagi jawatan tersebut dan sekali gus menderma koleksi buku undang-undangnya kepada perpustakaan Undang-undang UKM.

Tengku Rithauddeen berkata beliau terkenangkan keadaan ketika di bangku sekolah di mana semangat keakraban di antara murid berbagai kaum amat ketara yang dapat bergaul dengan keadaan amat mesra sekali.

“Pada masa itu tidak kira Melayu, Cina atau India, kami semua berkawan. Saya harap pada masa depan cucu-cucu saya akan dapat menikmati keadaan serupa,” tambah beliau.

Tengku Rithauddeen berkata beliau menceburi bidang undang-undang kerana sejak di bangku sekolah lagi beliau diberitahu bahawa peguam dan penggubal undang-undang akan diperlukan negara apabila merdeka.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud serta Pro Canselor Tunku Panglima Besar Kedah Dato’ Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berangkat menghadiri majlis.

Turut hadir pada majlis itu termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Dr Mohammad Zawawi Ismail, Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, keempat-empat Timbalan Naib Canselor dan Mantan Naib Canselor Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Pada hadirin dihiburkan dengan nyanyian dan kumpulan muzik.

Tengku Ahmad Rithaudeen telah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti dalam kerajaan, syarikat guaman, sebagai ahli Dewan Rakyat, menteri kabinet dan terakhir sebagai pengurusi jawatankuasa disiplin UMNO.

Beliau dilahirkan pada tahun 1929 bukannya 1932 seperti ternyata dalam rekod rasmi. Kini berusia 85 tahun, beliau sentiasa dikenali dengan pertuturan bahasa Inggeris yang baik hasil dorongan ayahandanya.

Sering dipuji sebagai seorangt ‘ahli politik budiman’, Tengku Rithauddeen berpeluang menjadi peguam bela yang terkenal atau pendakwa raya atau pun hakim, sebelum memasuki politik dan memegang jawatan ketua pegawai penerangan Umno Kelantan sebelum bertanding dalam pilihan raya umum dan memenangi kerusi parlimen Kota Baharu.