PKS Adalah Pemacu Ekonomi Masa Depan Negara

RABU, 20 OGOS 2014 10:07

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 12 Ogos 2014 – Masa depan ekonomi Malaysia yang didorong oleh permintaan tempatan dan eksport terletak di atas kemajuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini menyumbang sehingga 99.2% daripada semua perniagaan dan syarikat dalam negara.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Dato’ Hafsah Hashim berkata PKS adalah tunggak pertumbuhan industri yang amat penting hinggakan 15 kementerian dan 61 agensi kerajaan terbabit dengannya.

Beliau berkata demikian dalam ceramahnya Merintis Transformasi Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini. Beliau adalah di antara beberapa penceramah di Persidangan Pasaran Perniagaan Negara-Negara Membangun di UKM. Yang lainnya termasuk negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Canselor UKM Profesor Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali.

Dato’ Hafsah berkata PKS sangat penting untuk kemakmuran negara dan adalah pengubah nasib ekonomi negara untuk masa hadapan.

Sebuah syarikat bersaiz sederhana adalah yang mempunyai perolehan jualan kurang daripada RM 50 juta setahun serta mempunyai kurang daripada 200 orang pekerja manakala industri kecil pula berpendapatan kurang daripada RM 15 juta setahun dengan pekerja tidak melebihi 75 orang.

Bagaimanapun kebanyakan daripada PKS adalah apa yang ditakrif sebagai perniagaan mikro dengan perolehan jualan kurang daripada RM 300,000 dengan tenaga pekerja tidak lebih daripada lima orang.

Dato’ Hafsah berkata pengukuhan PKS akan merangsangkan permintaan tempatan dengan mengukuhkan perusahaan pembuatan tempatan dan pengeluaran barangan runcit.

Pada masa yang sama, ia akan dapat menghadapi kelembapan ekonomi global yang boleh menyebabkan kejatuhan permintaan untuk eksport tanpa menjejaskan permintaan tempatan yang dapat bertahan sebagaimana berlaku dalam krisis kewangan tahun 2008 dan krisis kewangan Asia tahun 1997.

Dato’ Hafsah berkata insentif seperti pembiayaan mikro dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) boleh meningkatkan perniagaan kecil dan menggalakkan wujudnya usahawan baru.

Beliau berkata GST hanya wajib ke atas syarikat yang mempunyai jualan lebih daripada RM 500,000 dan akan mengurangkan beban kewangan syarikat yang kini membayar gabungan cukai jualan dan perkhidmatan sehingga 16% sekarang.

Syarikat yang mempunyai perolehan kurang dari RM 500,000 secara sukarela boleh melaksanakan GST jika mahu. Mereka yang berbuat demikian berhak menuntut GST yang dikenakan ke atas bahan mentah atau input yang digunakan untuk pembuatan barang-barang yang dikena cukai.

Beliau berkata GST akan menjadi rahmat kepada perniagaan kecil dengan mengurangkan kos bekalan perniagaan, meningkatkan daya saing eksport serta menentukan tadbir urus yang lebih baik.

Dato’ Hafsah juga mahu undang-undang muflis sekarang dipinda supaya perniagaan kecil dan sederhana boleh diberikan peluang kedua untuk pinjaman. Ramai usahawan yang diisytiharkan muflis hanya kerana mereka menjadi penjamin untuk pinjaman perniagaan orang lain atau untuk menjamin pinjaman pengajian.

Satu lagi syarat yang mahu diubah segera adalah pelesenan syarikat, yang kini amat rumit dengan tempoh menunggu yang panjang sebelum mendapat kelulusan hingga membuat usahawan baru tawar hati.

“Mengapa tidak membenarkan perusahaan kecil didaftarkan dalam masa 24 jam, seperti di kebanyakan negara-negara maju?” ujarnya.

SME CORP telah ditubuhkan oleh kerajaan untuk memudah dan memperkasakan PKS supaya boleh menjadi penjana ekonomi yang kukuh dalam negara serta mengeluarkan barangan untuk di eksport.

Beliau berkata pembangunan PKS adalah komponen penting untuk Malaysia mencapai pertumbuhan kukuh untuk menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Antara mereka yang hadir pada persidangan itu ialah kakitangan universiti, pelajar pertukaran dari Poland dan Mexico serta pelajar dari universiti-universiti ASEAN yang mengambil bahagian dalam program sukarelawan belia yang dianjurkan oleh UKM.