Pusat Kesihatan Komuniti UKM Di Teluk Intan Boleh Harapkan Peruntukan Tambahan

JUMAAT, 29 OGOS 2014 08:18

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

TELUK INTAN, PERAK, 19 Ogos 2014 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Mah Siew Keong akan mengesyorkan kepada Perdana Menteri untuk menambah peruntukkan kajian saintifik serta projek-projek sosial di Pusat Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan (UKM) Malaysia di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan dan taklimat mengenai pusat itu di sini hari ini, Dato’ Mah berkata beliau kagum dengan aktiviti penyelidikan sosial dan perubatan yang dijalankan di Teluk Intan, kawasan parlimennya. Beliau berpandangan ia memerlukan sumber yang lebih besar.

Beliau memberitahu bahawa UKM dan universiti penyelidikan lain akan menerima dana tambahan untuk projek-projek penyelidikan tidak lama lagi melalui agensi yang ditubuhkan untuk membangun dan memasarkan inovasi saintifik. Badan itu, Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dipengerusikannya apabila mengambil aleh daripada Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak apabila dilantik sebagai Menteri baru-baru ini.

Mah enggan menyatakan jumlah dana yang diperuntukkan tetapi berkata produk dan inovasi baru akan menjadi keutamaan agensinya itu yang akan memilih projek-projek yang berkaitan daripada kalangan universiti penyelidikan.

Dato’ Mah berkata memandangkan hampir separuh daripada pelajar UKM terdiri daripada pelajar pasca siswazah, adalah wajar membantu membangunkan penyelidikan mereka untuk  dijadikan produk atau perkhidmatan yang berpotensi untuk dipasarkan.

“Saya berharap UKM akan mempunyai pelbagai projek bersama dengan AIM. Saya telah melihat dengan mata sendiri produk-produk inovatif Malaysia yang diimport oleh Singapura dan diberi penghalusan untuk menjadikannya lebih mudah dipasarkan. Syabas, UKM,” katanya.

Beliau menganggap bahawa jika produk Malaysia dapat meyakinkan masyarakat, ia akan lebih mudah dipasarkan.

Beliau, sebelum itu, telah diberi taklimat mengenai projek-projek yang dijalankan oleh pusat kesihatan komuniti itu oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar dan ketua Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Hospital UKM Prof Dr Noor Azah Abdul Aziz. Turut hadir Bendahari UKM Dato’ Mohd Abd Rashid Mohd Fadzil.

Prof Mazlin menerangkan pusat kesihatan komuniti itu telah dijadikan hab perkhidmatan untuk pelajar tidak terhad kepada pelajar perubatan sahaja tetapi juga penyelidik dari tenaga lestari dan pembangunan untuk dimanfaatkan bagi Teluk Intan, suatu kawasan separa bandar.

Pusat itu, katanya, bukan sahaja bertindak sebagai makmal hidup seperti pusat penyelidikan yang lain di Langkawi dan Mersing, tetapi ia juga adalah hab sosio-ekonomi dan multi-disiplin untuk Teluk Intan.

Prof Mazlin berkata pusat itu sedang digunakan dalam latihan untuk siswazah fakulti perubatan dalam beberapa aspek yang tidak dapat disediakan Hospital UKM di Cheras, ia itu  mendedahkan mereka kepada masalah penduduk luar bandar.

Prof Dr Noor Azah Abd Aziz, dalam taklimatnya berkata beliau dan penyelidik lain mendapati Teluk Intan mempunyai ramai penghuni yang menghadapi tekanan darah tinggi dan obesiti,  yang biasanya dikaitkan dengan kawasan bandar.

Mereka juga terkejut mendapati ramai orang yang mengidap penyakit kencing manis tidak di diagnos pada peringkat awal lagi.

Sebahagian daripada khidmat masyarakat UKM adalah untuk memenuhi usaha penyelidikan perubatan dari segi langkah pencegahan.

“Kencing manis boleh menjadi masalah besar dalam masa 10 tahun,” katanya, sambil menambah bahawa program yang serupa telah memberi hasil yang positif di kawasan Hulu Langat di Selangor.

Prof Noor Azah berkata, program itu bertujuan membantu warga emas dengan memberi tumpuan kepada kesihatan mereka. Asalnya, pusat itu ditubuhkan untuk pelajar perubatan sebagai hab untuk penyelidikan perubatan dan Kesihatan.