Hang Tuah Tetap Wujud, Kata Prof Nik Hassan Shuhaimi

KHAMIS, 02 OKTOBER 2014 15:44

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 26 September 2014 – Seorang pakar arkeologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata Hang Tuah sememangnya pernah wujud kerana pusaranya terdapat di Tanjung Kling, Melaka.

Felo Penyelidik Utama di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), UKM Prof Emeritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata beliau menggunakan bukti penemuan makam purba di Tanjung Kling bahawa Hang Tuah disemadikan di sana.

Ketika menyampaikan Syarahan Tun Seri Lanang atas tajuk ‘Hang Tuah: Antara Mitos Dan Realiti’ di sini hari ini, Prof Nik Hassan berkata beliau menggunakan bukti penemuan makam purba di Tanjung Kling yang mengesahkan Hang Tuah disemadikan di sana.

“Makam itu dijumpai pada tahun 1981. Majlis Agama Islam khuatir ia akan menjadi tempat pemujaan hingga restorasi (pemulihan) tidak dilakukan”, katanya.

Namun demikian, pada tahun 1990an Ketua Menteri Melaka ketika itu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik memutus membaik pulih makam itu dan mempromosikannya untuk tarikan pelancong.

Makam itu didapati panjang kerana orang dahulu pada zaman kesultanan Melaka percaya seorang wira mesti mempunyai makam yang panjang.

Selain itu beliau berpandukan buku-buku sastera Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan karya penyelidikan Prof Dr Sulastrin Sutrisno Hikayat Hang Tuah; Analisis Struktur dan Fungsi, di Universitas Gajah Mada, Indonesia.

Beliau juga menggunakan Sastera Lisan (oral history) yang mempunyai banyak sumber-sumbernya.

Prof Nik Hassan berkata terdapat banyak tulisan-tulisan sarjana yang beliau gunakan untuk catatan bagi fakta-fakta yang boleh diterima.

Kiranya hikayat dan sastera menceritakan Hang Tuah di samping tempat-tempat dan kerajaan-kerajaan yang sah pernah wujud, adalah wajar untuk percaya bahawa wira Melayu itu juga pernah hidup dan bukan cerita dongeng semata-mata.

Walau bagaimanapun, Prof Nik hassan mengakui bahawa semua catatan dalam cerita lama itu tidak pernah menyebutkan tarikh. Penyelidik-penyelidik moden terpaksa merujuk kepada sumber lain untuk menentukan masa berdasarkan kejadian dan nama-nama raja atau maharaja, seperti catatan kerajaan Dinasti Ming di Cina pada abad ke-15 masehi.

Pengkaji-pengkaji British seperti R.O. Winstedt dan R.J.Wilkinson menganggap Hang Tuah watak rekaan semata-mata kerana mereka berpandangan cerita mengenainya hanya sastera dan bukan sejarah.

Sarjanawan tempatan yang terkenal seperti Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim pula menegaskan bahawa bukti-bukti mengenai kewujudan Hang Tuah mesti diketengahkan kiranya Hang Tuah benar-benar wujud.

Turut hadir di syarahan itu Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah dan Ketua Pustakawan UKM Hafsah Muhammad.