Pakar Matematik UKM Menerima Anugerah Penyelidik Cemerlang 2014

RABU, 15 OKTOBER 2014 17:18

Oleh Saiful bahri Kamaruddin
Foto Abd Raai Osman

PUTRAJAYA, 9 Oktober 2014 – Pengerusi Pusat Pengajian Sains Matematik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Ishak Hashim telah diiktiraf sebagai Penyelidik Cemerlang 2014 oleh Kementerian Pendidikan.

Prof Ishak adalah seorang pakar dalam bidang dinamik bendalir dan kaedah berangka, dua cawangan dalam mata pelajaran Matematik Gunaan.

Beliau juga diiktiraf sebagai penyelidik terkemuka antarabangsa apabila namanya tercatat dalam kumpulan satu peratus penyelidik-penyelidik tersohor dunia oleh Thomson-Reuters.

Prof Ishak adalah di antara empat orang ahli akademik yang diberi anugerah itu. Ketiga ahli akademik lagi yang diberi anugerah itu ialah Prof Dr Abdul Latif Ahmad dan Prof Dr Bassim H Hameed keduanya dalam bidang kejuruteraan kimia dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prof Dr Saidur Rahman Abdul Hakim dari Universiti Malaya (UM) bagi bidang sains sosial.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh yang menyampaikan anugerah itu hari ini berkata pengiktirafan demikian diberi berdasarkan kepada hasil kajian mereka yang sering menjadi rujukan selepas diterbitkan di dalam penerbitan berimpak tinggi yang dipantau oleh Thomson-Reuters.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Datuk Seri Idris pada majlis penganugerahan geran program Makmal Kerjasama Akademik-Perniagaan Malaysia (MyLAB) dan penyerahan watikah Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) di Kementerian Pendidikan di sini hari ini.

Thomson Reuters dalam laporannya, ‘The World Most Influential Minds: 2014’ menyatakan bahawa keempat-empat mereka disenaraikan dalam laporan itu kerana menerbitkan makalah dalam penerbitan berimpak tinggi yang paling kerap dijadikan sebagai rujukan oleh penyelidik-penyelidik di seluruh dunia.

“Justeru pencapaian keempat ahli akademik itu dalam bidang saintifik terbabit telah membantu melonjakkan kedudukan universiti-universiti Malaysia dalam penarafan universiti dunia,” kata Idris.

Hadir di majlis itu ialah Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi),  Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Pengarah Institut Mikrokejuruteraan dan Nanoelektronik (IMEN) Prof Datuk Dr Burhanuddin Yeop Majlis.

Dalam perkembangan berkaitan IMEN telah dipilih sebagai HICoE yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan. Pengiktirafan itu telah diserahkan secara rasmi oleh Datuk Seri Idris.

Sempena dengan anugerah itu, sistem mikroelektromekanikal (MEMS) untuk Bioperubatan dipilih sebagai bidang Nic HICoE.  Dana penyelidikan tambahan sebanyak RM9 juta akan disediakan oleh kementerian selama 3 tahun daripada 2014 hingga 2016 untuk penyelidikan lanjut mengenai penciptaan buah pinggang tiruan.

Idris dalam sidang akhbarnya selepas itu berkata, Malaysia telah mencatatkan peningkatan 310% jumlah artikel oleh penyelidik negara ini yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi antara 2007 dan 2012. Ini disifatkannya sebagai antara yang tertinggi di dunia.

“Ini adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan untuk memajukan bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di negara ini,” katanya.

Beliau berkata R&D mempunyai peranan besar terutama dalam menghasilkan ciptaan-ciptaan baharu demi kesejahteraan hidup manusia.

Atas komitmen itu kerajaan hari ini menganugerahkan geran MyLAB berjumlah RM17 juta yang berfokuskan kepada empat teras teknologi iaitu nanoteknologi, bioteknologi, automotif dan aeroangkasa.