UKM Inginkan Lebih Peralatan Dalam Penyelidikan Angkasa

ADMINISTRATOR

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto  Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Oktober 2014 – Para saintis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyelidik sel-sel barah, kuman dan cacing gelang di ruang angkasa lepas semasa dan selepas program Angkasawan pada tahun 2007 memerlukan peralatan khusus di bumi untuk meneruskan eksperimen mereka.

Salah seorang penyelidik projek itu, Dr Neoh Hui Min berkata mereka memerlukan simulator mikro graviti tiga dimensi untuk mensimulasikan kesan graviti sifar supaya mereka dapat melakukan eksperimen di makmal Penyelidikan Sains Angkasa di Institut Perubatan Biologi Molekul UKM (UMBI).

Beliau berkata demikian pada mesyuarat antara saintis Malaysia dan Dr Chiaki Mukai, angkasawan wanita pertama Jepun dan Pengarah Pusat Perubatan Gunaan Angkasa dan Penyelidikan Manusia di Agensi Penerokaan Angkasa Jepun  (JAXA) sempena sambutan Hari Angkasawan Negara Ketujuh di sini hari ini.

Dr Neoh bertanya sama ada Jepun berminat untuk membantu dengan mengadakan projek-projek penyelidikan bersama UMBI.

Turut hadir pada pertemuan itu Dato’ Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, angkasawan pertama Malaysia yang membantu menjalankan sebahagian daripada uji kaji ke atas sel-sel kanser dan mikrob di angkasa apabila beliau pergi ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada tahun 2007.

Dr Neoh berkata penyelidik UKM ingin terus menyelidik kesan simulasi mikrograviti pada profil ekspresi gen dan fenotip biologi Caenorhabditis elegans.

Caenorhabditis Elegans adalah cacing gelang atau nematod yang hidup bebas dalam tanah yang terdapat di banyak tempat di dunia dan mendapat makanannya daripada mikrob atau kuman.

Ia adalah satu sistem model penting untuk penyelidikan biologi seperti genomik, biologi sel, sains saraf dan penuaan.

Dr Neoh berkata menggunakan cacing gelang mempunyai banyak kelebihan, seperti kitaran hidup pendek, genom padat, pembangunan stereotaip, mudah membiak dan saiz kecil berbanding uji kaji ke atas haiwan yang lebih tinggi.

Selain itu, seluruh genom C. elegans telah diurutkan dan ini lebih memudahkan tugas mereka.

Beliau berkata mereka ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perubahan ekspresi gen-gen yang terlibat dalam umur panjang, pembaikan DNA dan pergerakan serta kesan yang mungkin berlaku dalam penerbangan angkasa lepas pada jangka panjang masa depan dan penerokaan planet.

Bahkan jika tidak mempunyai peluang untuk keluar ke ruang angkasa pun mereka sekurang-kurangnya dapat melakukan penelitian lebih lanjut dengan menggunakan simulator mikro graviti.

Selain daripada peralatan untuk mensimulasikan mikrograviti di bumi, penyelidik perlu mengawal tahap hidup C. elegansdalam satu generasi untuk ekspresi gen tepat dan melakukan eksperimen yang dijalankan ke atas kedua-dua agar-agar dan cecair.

Penyelidikan C. elegans UMBI di ruang angkasa telah bermula pada tahun 2006 melalui kerjasama antara ahli-ahli sains UKM dengan Universiti Pittsburgh dan syarikat bioteknologi BioServe di Colorado.

Eksperimen itu dilakukan oleh rakan kongsi penyelidikan UMBI di angkasa lepas apabila mereka terbang dengan kapal Shuttle STS116 pada Disember tahun 2006.

Kajian itu adalah untuk melihat kesan penerbangan angkasa lepas yang agak lama (lebih dari 6 bulan) pada C. elegansselepas beberapa generasi.

UMBI juga bekerjasama dengan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) untuk mengesan kesan mikrograviti pada C.elegans, yang mana mereka memerlukan simulator secepat mungkin.

Penyelidikan angkasa lepas UMBI itu dipimpin oleh Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal dan dianggotai Dr Neoh serta enam orang lain dalam pasukan tersebut.