UKM Menerajui Program Pembelajaran STEM

KHAMIS, 09 OKTOBER 2014 16:03
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 OKTOBER 2014 – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memuji Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana melaksanakan program yang menggalakkan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik(STEM) di kalangan remaja.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata UKM telah menerajui universiti-universiti awam dalam negara untuk menghadapi cabaran merapatkan jurang minat terhadap pembelajaran mata pelajaran STEM.

Prof Asma, wanita pertama yang dilantik untuk jawatan itu, berkata penurunan kemasukan pelajar sains di peringkat sekolah menengah dan kekurangan kemahiran Pemikiran Kritikal di kalangan belia memberi gambaran jelas terhadap jurang yang semakin ketara itu.

Beliau telah menyampaikan syarahan umumnya bertajuk Sains dan Pembangunan Negara: Jurang STEM di sini hari ini. Syarahannya adalah sebahagian daripada siri syarahan Ungku Omar yang dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi (FST) sempena hari terbuka fakulti itu.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan menyedari terdapat ketidakupayaan pelajar sekolah menengah untuk mengaitkan kaedah STEM kepada masalah harian walaupun terdapat usaha menggalakkan pemikiran kritikal. Masalah itu berlarutan hingga ke peringkat pendidikan tinggi.

Beliau berkata negara tidak mahu pelajar belajar mengenai elektron tetapi tidak boleh kaitkannya dengan fungsi televisyen. “Kita juga tidak mahu pelajar belajar biologi tetapi tidak dapat mengaitkannya dengan kehamilan remaja,” katanya.

Beliau bagaimanapun gembira UKM telah melaksanakan beberapa program yang memupuk minat STEM di peringkat awal, seperti Tokoh Laureate Bermastautin dan Minda Tokoh Nobel. UKM adalah satu-satunya universiti awam tempatan yang melaksanakan program demikian.

Prof Asma juga memuji UKM kerana menjalankan Khemah Musim Panas Saintis Muda New York Academy of Sciences yang memberi peluang kepada pelajar tingkatan lima untuk mengetahui dengan lebih lanjut soal inovasi dan keusahawanan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada UKM kerana mengadakan rancangan pertemuan peribadi sains di kampus yang beliau yakin dapat menyediakan peluang untuk menggalakkan lebih ramai saintis muda diwujudkan.

Melalui rancangan itu, Prof Asma berkata, UKM akan dapat berkhidmat di peringkat kebangsaan untuk menerajui bengkel Minda Tokoh Nobel.

Calon pasca kedoktoran di fakulti baru akan dapat menilai kekuatan serta kelemahan mereka dan menggunakan pengetahuan diri mereka untuk menjadi ahli sains yang lebih berkesan.

Kajian menunjukkan bahawa pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dalam Khemah Musim Panas Saintis Muda di Academy of Sciences New York mencatatkan peningkatan ketara terhadap minat dalam pengajian STEM, dari 43% sebelum mengambil bahagian kepada 97% selepas tamat.

Kira-kira 67% daripada mereka bercita-cita untuk menjadi tokoh anugerah Nobel. Kebanyakan daripada mereka terdiri dari pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sekolah-sekolah di rancangan FELDA.

“Kami sedang mencari pelajar yang berimbang. Sebagai universiti liberal UKM perlu menghasilkan graduan yang berimbang”, katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, pendidikan STEM tidak mengajar subjek sahaja tetapi memberi tumpuan kepada bagaimana pengetahuan yang dipelajari boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kehidupan sebenar. Bagaimana untuk menyambung pengetahuan yang dipelajari melalui latihan formal supaya boleh menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif.

Siri syarahan Ungku Omar dinamakan sempena Dr Ungku Omar bin Ungku Ahmad (1931-1969) perintis penyelidik sains Malaysia dan doktor perubatan yang merupakan pengarah Melayu pertama Institut Penyelidikan Perubatan.

Turut hadir pada ceramah itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat dan Dekan FST Prof Dr Sahrim Haji Ahmad.