UKMFC Menjulang Lagi Piala Menteri Pendidikan

SELASA, 14 OKTOBER 2014 11:46

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

SHAH ALAM, SELANGOR, 9 Oktober 2014 – Pasukan bola sepak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMFC) berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Menteri Pendidikan tahun 2014 dengan mengalahkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis 3-0 dalam perlawanan akhir di sini hari ini.

Semua gol diperolehi pada separuh masa kedua walaupun beberapa kali hampir megatasi UiTM Perlis pada separuh masa pertama pertandingan yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

Gol-gol dijaringkan oleh Faiz Mohd, Helmi Hariri dan Mohd Azri Ahmad. Pasukan UKM bimbingan Sulaiman Hussin menerima  wang tunai RM30,000 sebagai juara.

Turut memberi sokongan kepada UKMFC ialah Timbalan-timbalan Naib-Canselor Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat, Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal dan Prof Dr Imran Ho Abdullah serta Dekan Fakulti Sains Prof Dr Sahrim Hj Ahmad.

Walaupun UKMFC telah beberapa kali mengasak gawang UiTM Perlis pada separuh masa pertama tetapi gagal menembusinya. Bagaimanapun nasib UKM berubah apabila gol pertama dijaringkan dalam separuh masa kedua. UKM menambah dua lagi gol untuk memastikan keselesaan kedudukannya hingga tamat permainan.

Pada sesi rehat separuh masa, Kementrian Pendidikan telah menyampaikan hadiah-hadiah kepada pasukan yang berjaya dalam saingan Liga IPT musim 2014. UiTM Sarawak menjadi Johan Divisyen Borneo manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) Bintulu menjadi Naib Johan. Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)  pula menjulang kejuaraan Divisyen Tiga. Dalam saingan Divisyen Dua, Universiti Multimedia (MMU) pula menjadi Johan dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) Naib Johan.

Dalam Divisyen Satu, UiTM Perlis menjadi Johan dengan UKM di tempat kedua diikuti Politeknik Kelantan di tempat ketiga.