Dapatkah UKM Menjadi Antara 10 Universiti Terbaik Dunia?

RABU, 17 SEPTEMBER 2014 13:40

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman dan Izwan Azman

BANGI, 4 September 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah berkembang menjadi sebuah universiti dikagumi bukan sahaja di dalam negara malah juga di luar negara.

Dengan itu tidak mustahil ia dapat dimajukan menjadi antara 10 universiti terbaik di dunia, kata Naib Canselor Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau telah berkata demikian kepada lebih 4,000 orang pelajar barunya bagi sesi akademik 2014-2015 sekarang sebelum upacara angkat sumpah mereka di sini hari ini untuk memulakan program Minggu Mesra Pelajar.

Dalam amanatnya bertajuk Pendaulat Amanah Negara, Prof Noor Azlan berkata UKM kini berada di kedudukan ke 19 untuk universiti berusia kurang daripada 50 tahun.

Beliau menggesa siswanya berusaha memperlihatkan kebolehan masing-masing, bersifat inovatif dan berjuang sebagai warga yang dapat mendukung diri mereka sebagai Pendaulat Amanah Negara.

Mereka, katanya, harus bersifat sebagai ‘payung merah’ bagi menonjolkan diri menjadi penuntut yang lebih menyerlah dan mudah dicam. Semua pelajar juga mestilah mempunyai semangat berpasukan dan bersifat keusahawanan untuk meningkatkan profil UKM.

Selama berada di UKM antara tiga atau empat tahun mereka perlu berusaha untuk menjadi lebih baik daripada mahasiswa universiti lain dan belajar untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua bidang yang mereka berbakat.

Menyifatkan mereka sebagai rakan kongsi, beliau berkata tidak memadai bagi mereka sekadar menghadiri kuliah dan mendapat ijazah pada akhir pengajian.

Mereka perlu berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran serta berinovatif kerana pembelajaran sahaja tidak memadai. Mereka juga perlu mempunyai pengetahuan dan prestasi yang tinggi dalam aktiviti lain.

Beliau berkata UKM dan negara memerlukan anak-anak muda dengan semangat kebangsaan yang boleh mencipta inovasi berimpak tinggi dan berfikir secara strategik.

Mereka juga perlu berusaha mengadakan perkongsian pintar di dalam dan di luar negara dengan menjadi wakil tidak rasmi negara.

Prof Noor Azlan berkata ciri-ciri pelajar UKM termaktub dalam Bidang Keberhasilan Utama Strategiknya sejajar dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Beliau walau bagaimana pun berkata dalam usaha untuk mencapai status payung merah mereka juga harus bermaruah dan beretika untuk melindungi integriti universiti dan negara.

Pada majlis tersebut pelajar-pelajar itu telah diperkenalkan kepada enam orang mahasiswa UKM yang cemerlang dalam bidang masing-masing serta berjaya menerokai lapangan baru di dalam dan di luar negara.

Pencapaian mereka adalah dalam bidang seperti memenangi anugerah dalam pertandingan kereta Selfuel di Manila, mewakili negara di persidangan Undang-undang Antarabangsa di Paris, memenangi kejohanan kriket serta menyertai program kesukarelawanan negara-negara ASEAN.