Dua Pengajar UKM Menerima Pengiktirafan Anugerah Akademik Negara

RABU, 03 SEPTEMBER 2014 12:26

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 2 September 2014 – Dua orang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sheila Nathan dan Profesor Madya Dr Raihanah Mohd Mydin hari ini menerima pengitirafan Anugerah Akademik Negara 2013.

Prof Sheila seorang saintis biokimia telah dinobatkan Tokoh Akademik dalam kategori Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal. Beliau dan pasukannya telah berjaya membuat penemuan mengenai penyakit maut Melioidosis yang berlaku di kawasan tropika.

Hasil penyelidikan beliau dan pasukannya telah diterbitkan dalam jurnal berprestij Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS) iaitu suatu Journal Q1 (5% teratas).

Penemuan oleh Prof Sheila dan pasukannya serta rakan kerjasama mereka memberi manfaat dalam bidang perubatan di negara-negara tropika untuk menangani masalah bersangkutan penyakit itu. Impak terbitan itu juga memberi manfaat ke seluruh dunia.

Dr Raihanah seorang ahli bahasa telah menerima Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sastera dan Sains Sosial. Kaedah yang digunakannya didapati berjaya meningkatkan dengan ketara pencapaian pelajar di universiti.

Beliau sentiasa memastikan setiap pelajar memperolehi keputusan terbaik. Hasil dari keikhlasannya, beliau telah pun menerima pengiktirafan di peringkat fakulti, universiti dan kini diperingkat negara.

Anugerah-anugerah itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak di upacara penyampaian anugerah untuk pelbagai kategori di sini hari ini.

Beberapa orang Menteri serta Naib Canselor dari pelbagai universiti turut hadir pada majlis itu. Anugerah Akademik Negara adalah anugerah akademik paling berprestij di negara ini yang diberikan kepada ahli akademik dan pendidik kerana sumbangan cemerlang mereka baik di dalam mahupun di luar negara.