Penggunaan Kaedah Pengajaran Baru Dicuba Di Semua Fakulti UKM

JUMAAT, 12 SEPTEMBER 2014 15:13

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 8 September 2014 – Setiap Fakulti dan Pusat TanggungJawab (PTJ) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diarah cuba menggunakan kaedah Kuliah Terbalik dan Pembelajaran Teradun berikutan suatu kempen yang dilancarkan di sini hari ini.

Naib Canselor Professor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata beliau kagum dengan kejayaan inovasi yang digunakan oleh beberapa pensyarah di Fakulti Pendidikan dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan hingga beliau bersetuju kaedah itu dilaksanakan di semua fakulti untuk suatu jangka tempoh percubaan.

Beliau telah melancarkan ‘Kempen Untuk Pembelajaran Teradun, Projek Rintis Untuk Pembelajaran terbalik dan MOOC Untuk Hubungan Etnik’, di sini hari ini. Prof Noor Azlan berkata sudah menjadi kebiasaan ada pihak yang tidak mahu menerima idea baru.

“Setiap sistem apabila diterima secara lazimnya sukar untuk diubah. Kerja sentiasa mengikuti prosedur dan kaedah biasa sebagai standard. Bagaimanapun ada kalanya kelaziman perlu dicabar,” ujar beliau.

Kelas Terbalik adalah satu kaedah pembelajaran teradun yang mana pelajar belajar dengan menonton video kuliah pada masa lapang mereka. Tugasan dilakukan di dalam kuliah di mana pensyarah membimbing atau menjadi mentor dan akan berinteraksi dengan pelajar, bukan memberi syarahan semata-mata.

Pembelajaran teradun adalah campuran kehadiran formal dalam kelas dan kuliah melalui talian. MOOC adalah kursus dalam talian terbuka secara besar-besaran bertujuan untuk penyertaan global dan terbuka melalui web.

Seorang daripada pengamal kaedah itu, ahli bahasa Profesor Madya Dr Raihanah Mohd Mydin berkata beliau mendapati kemajuan dalam sikap pembelajaran oleh sekumpulan pelajar apabila mereka dibenarkan untuk belajar melalui internet dan video pada waktu-waktu fleksibel.

Beliau berkata mahasiswa yang belajar bersendirian pada masa lapang di luar dewan kuliah didapati lebih bermotivasi dan menunjukkan minat dalam kurikulum rasmi mereka berbanding apabila mereka mematuhi jadual kuliah yang ketat.

Dr Raihanah telah berkongsi pengalamannya menggunakan kaedah itu pada ceramahnya bertajuk Bilik Darjah Terbalikdan Pembelajaran Terbalik; Mengenangkan Pengalaman Selepas Dua Semester selepas pelancaran kempen itu. Beliau telah mengambil keputusan untuk mencuba sesuatu yang lebih terbuka dengan pelajar kerana mendapati ada di antara mereka kecewa dengan kongkongan kaedah pembelajaran yang lazim.

Dr Raihanah baru-baru ini telah menerima Anugerah Pengajaran Terbaik bagi Kelompok Sastera dan Sains Sosialdaripada Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak kerana kaedah pengajarannya yang telah meningkatkan  pencapaian pelajar dengan ketaranya.

Setiap fakulti akan melaksanakan Pembelajaran Terbalik ketika kempen itu disebabkan bentuk pengajaran dan pembelajaran yang lebih fleksibel difikirkan perlu diikuti kerana terdapat pelajar menghadapi kesukaran untuk menghadiri kuliah tepat pada masanya.

“Seminar atau ceramah telah dirakamkan supaya pelajar boleh menontonnya pada bila-bila masa. Pelajar saya terdiri daripada guru sepenuh masa dan remaja bekerja sepenuh masa,” katanya.

Ada di antara mereka sama ada tidak mempunyai masa untuk datang ke kuliah kerana bekerja sepenuh masa atau mereka tiba lewat kerana terpaksa berjalan jauh dari bangunan lain. Ini menyebabkan mereka menjadi bosan apabila terlepas kuliah.

Mereka yang menonton video pengajaran yang diberikan atau diperoleh dari dalam talian sebelum dan selepas kuliah sekali gus mengurangkan waktu kuliah. Bagaimanapun kuliah tetap ada jika mereka perlu mendapat keterangan daripada pensyarah.

“Tugas saya ialah untuk memudah dan menyokong pembelajaran mereka dengan memberi bantuan kepada pelajar yang kurang arif mengenai sesuatu subjek,” kata Dr Raihanah.

Kuliah yang dirakamkan adalah dalam bentuk persembahan ‘power-point’  dan ‘screencast-o-matic’. Selain itu terdapat banyak video berkaitan dalam laman web Youtube yang boleh dirujuk pelajar.

Prof Noor Azlan menyifatkan Dr Raihanah sebagai seorang yang berani mencabar kelaziman untuk mencuba sesuatu yang baru. Lebih penting apabila ia berbaloi jika dicuba di setiap fakulti dan PTJ UKM.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah penyokong utama kaedah itu, Prof Mohamed Amin Embi, Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran dan Timbalan Pengarah (e-Pembelajaran), Pusat Pembangunan Akademik, UKM.