Penguasaan Bahasa Inggeris Penting Untuk Hadapi Perkembangan Pesat Teknologi

ISNIN, 22 SEPTEMBER 2014 10:24

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 18 September 2014 – Penguasaan bahasa Inggeris amat penting bagi membolehkan seseorang untuk menghadapi perkembangan pantas dan pesat teknologi di dunia.

Bahasa itu kini sudah menjadi bahasa saintifik dan cara terbaik untuk menguasai teknologi yang sedang maju dengan menguasai bahasa Inggeris.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sesiapa yang tidak mahir dalam bahasa Inggeris akan ketinggalan dalam persaingan dan penguasaan teknologi.

Ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Malaysia-Afrika 2014, di sini hari ini, di mana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga mengambil bahagian, Tun Dr Mahathir berkata Melayu boleh berbangga dengan bahasa kebangsaan tetapi ia tidaklah sehingga mengabaikan Bahasa Inggeris.

Bahasa Melayu tidak cekap sebagai bahasa pengantar komunikasi global berbanding bahasa Inggeris yang telah menjadi bahasa utama dunia.

Orang Inggeris telah memperkenal dan menggunakan bahasa mereka dengan meluasnya sebagai bahasa utama dalam komunikasi dan pentadbiran di semua tanah jajahan mereka yang mempunyai banyak bahasa.

Hingga kini sama ada kita suka atau tidak, ia sudah menjadi bahasa ilmu dan komunikasi sedunia, katanya.

Selain dari memartabatkan bahasa kebangsaan, beliau menekankan pentingnya ilmu yang sedang berkembang pesat di dunia akademik difahami.

Beliau berkata hakikatnya ramai orang dari pelbagai negara dan bahasa boleh mengambil bahagian dalam sidang kemuncak itu membuktikan bahawa bahasa Inggeris masih sangat penting untuk komunikasi global dan penyelidikan saintifik.

Beliau yang juga Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana turut menasihati penyelidik dan saintis untuk fasih sekurang-kurangnya dalam dua bahasa; bahasa ibunda dan satu bahasa antarabangsa.

Sidang kemuncak sehari yang bertemakan “Meningkatkan Jaringan Malaysia-Afrika: Membentuk Semula Wacana Pendidikan dan Pembangunan Global,” adalah untuk menggalakkan penglibatan yang lebih luas di antara Malaysia dan Afrika dengan menyediakan saluran untuk mempertingkatkan pertukaran ahli akademik mereka melalui kerjasama dua hala dan serantau itu.

Ia dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Program Penyelidikan Global Pelajaran Malaysia dengan kerjasama Pembangunan Rangkaian Universiti Afrika-Asia dan universiti penyelidikan termasuk UKM.