UKM Meningkatkan Kedudukannya Dalam Senarai Universiti Terbaik Di Dunia

KHAMIS, 18 SEPTEMBER 2014 09:55

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 17 September 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meningkat sepuluh anak tangga ke tempat 259 dalam senarai 400 institusi teratas di dunia dalam kajian Universiti berprestij QS World Ranking 2014.

Pertubuhan yang menilai universiti di dunia itu, QS Quacquarelli Symonds berkata tahun lalu UKM berada di kedudukan 269.

Tahun ini lima buah universiti penyelidikan Malaysia telah mencapai senarai 400 universiti teratas di dunia menurut penilaian QS itu.

Universiti Malaya (UM) berada di tangga 151 (meningkat dari 167) diikuti UKM di tempat 259 (berbanding 269 tahun lalu), manakala Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tangga 294 (355) suatu kenaikan mendadak sebanyak 61 anak tangga berbanding tahun lepas.

Universiti Sains Malaysia (USM) pula berada di kedudukan 309 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada kedudukan 376.

Dalam satu kenyataannya hujung minggu lalu, QS Quacquarelli Symonds berkata semua lima institusi Malaysia itu telah meningkatkan kedudukan mereka berbanding dengan tahun lalu.

Ukuran yang digunakan QS untuk menilai universiti di dunia adalah reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, kertas penyelidikan setiap fakulti, petikan setiap kertas, pengantarabangsaan dan program pertukaran pelajar.

QS yang berpangkalan di London menilai sejumlah 863 institusi pengajian tinggi daripada lebih 3,000 yang ada dalam senarainya.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) menunjukkan kemajuan terbesar, meningkat daripada tangga 701 hingga ke kumpulan 651 hingga 700.

Walau bagaimanapun, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kekal di kedudukan 500 hingga 550.

Menurut QS kecuali UIAM, semua ke lima-lima universiti penyelidikan Malaysia telah meningkat atau kekal stabil di tiga daripada enam petunjuk ukurannya.