Undang-undang Islam Perlu Diseragamkan Bagi Semua Negeri

SELASA, 30 SEPTEMBER 2014 09:37

Oleh Saiful  Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 24 September 2014 – Penguatkuasaan undang-undang Islam perlu di seragam dan diselaraskan bagi semua negeri dalam Malaysia untuk mengelakkan kekeliruan dan pertikaian.

Pakar Perundangan Islam di Fakulti Pengajian Islam (FPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Zaini Nasohah berkata konflik dan kontroversi telah tercetus kerana  wujudnya pelbagai enakmen yang berbeda-beda di setiap negeri.

Antaranya ialah Enakmen Kawalan Pengembangan dan Sekatan agama lain dari Islam kepada orang Islam.

Bercakap pada majlis Diskusi Syariah anjuran FPI di sini hari ini, Dr Zaini dari Jabatan Syariah berkata, belum ada penguatkuasaan yang menyeluruh sejak undang-undang tersebut diluluskan lebih 30 tahun lalu bermula dengan negeri Terengganu pada tahun 1980. Setakat ini hanya terdapat satu sahaja kes pendakwaan yang pernah dibuat iaitu di Pahang pada tahun 2002.

Fasal (4) Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa negeri boleh mengadakan undang-undangnya sendiri untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa kepercayaan agama selain dari Islam terhadap orang Islam.

Selaras dengan peruntukan itu, semua negeri kecuali Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak telah pun menggubal dan meluluskan enakmen bagi menghalang pengembangan agama dan kepercayaan selain Islam kepada orang Islam.

Walaupun demikian peruntukan enakmen-enakmen pelbagai negeri itu tidak sama meskipun mempunyai hasrat dan semangat yang sama iaitu untuk mengawal dan seterusnya menghalang sebarang bentuk penyebaran iktikad agama-agama lain ke atas penganut agama Islam. Selain peruntukan yang berbeda, pelaksanaan enakmen itu juga tidak dilakukan secara jelas.

Dr Zaini memberi contoh rampasan kitab Bible versi Bahasa Melayu di Petaling Jaya, Selangor awal tahun ini oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai satu kes yang menunjukkan terdapat elemen kelemahan penguatkuasaan undang-undang itu.

Rampasan tersebut dipertikaikan oleh pihak yang tidak bersetuju dengan serbuan JAIS, atas beberapa sebab menurut tafsiran mereka. Pada pandangan mereka pihak JAIS telah bertindak di luar bidang kuasanya.

Di dalam Seksyen 12 Enakmen tersebut yang berkaitan dengan kuasa untuk menyiasat dan menangkap, dinyatakan bahawa “Pegawai bertauliah boleh menyiasat apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu.”

Mereka yang membantah rampasan demikian berhujah bahawa Seksyen 12 ini tidak memberikan JAIS atau pegawai-pegawainya kuasa secara automatik menjalankan kuasa siasatan dan tangkapan bagi maksud kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini tetapi yang diberikan kuasa ialah  ‘Pegawai Bertauliah’.

Menurut undang-undang tersebut ‘Pegawai Bertauliah’ yang berhak membuat rampasan hanya daripada kalangan pegawai awam dan yang berkuasa membuat perlantikan Pegawai Bertauliah ini ialah Raja atau Sultan bagi negeri Selangor. Istilah ‘pegawai awam’ pula tidak ditakrifkan di dalam Enakmen Selangor itu.

Bagaimanapun Akta Tafsiran 1967 (Akta 388) menyatakan pegawai awam atau ‘public officer’ adalah yang ditakrifkan sebagai “a person lawfully holding, acting in or exercising the functions of public office”.

Kekeliruan ini juga timbul kerana terdapat perbezaan mengenai siapa yang boleh membuat tangkapan. Ada negeri memberi kuasa hanya kepada pegawai bertauliah sahaja. Namun ada negeri yang turut memberi kuasa kepada polis berpangkat inspektor ke atas. Di Selangor, kuasa menyiasat dan penguatkuasaan hanya diberi kepada pegawai yang diberi tauliah (oleh Sultan). Di Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan pegawai bertauliah atau polis berpangkat inspektor ke atas diberi kuasa itu.

Tindakan penguatkuasaan mudah di cabar di mahkamah jika pelaksanaan sesuatu undang-undang itu kabur.

“Ada ruang yang kabur. ‘Kuasa’ yang dimaksudkan ada pada siapa? Pegawai penguatkuasa, polis atau pihak lain yang diberi tauliah khusus berdasarkan peruntukan enakmen? Sesetengah negeri sebut dengan jelas; polis. Ada beberapa negeri pula menyebut; pegawai bertauliah tetapi boleh minta bantuan polis. Tetapi ada negeri tidak menyebutnya dengan jelas. Padahal siapa yang mempunyai kuasa itu perlu disebut dengan jelas,” kata Dr Zaini.

Beliau berpendapat enakmen demikian itu mengandungi beberapa Lacunae atau kekurangan yang memberi implikasi besar kepada penguatkuasaan.

Oleh itu peruntukan mengenainya perlu diperbaiki segera untuk mengelak kekaburan berpanjangan yang boleh mengundang konflik, kontroversi dan tohmahan setiap kali kes berkaitan muncul.

Negeri-negeri perlu pastikan terdapat peruntukan penyertaan polis dalam tindakan penguatkuasaan, jika enakmen dipinda nanti. Ini kerana kes-kes di bawah enakmen itu biasanya sensitif melibatkan anutan agama dan bangsa yang berbeza.

Turut hadir dalam majlis diskusi itu seorang lagi penceramah Prof Madya Dr Farid Sufian Shuaib dari Universiti Islam Antarabangsa. Ia dikendalikan oleh pensyarah kanan di Jabatan Syariah FPI Mohd Yazid Ahmad sebagai moderator.