Usaha UKM Membolehkan Negara Menggunakan Tenaga Nuklear

RABU, 24 SEPTEMBER 2014 12:09

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 22 September 2014 – Malaysia mungkin mempunyai loji penjanaan kuasa nuklearnya yang pertama untuk menghasilkan tenaga bersih dan lestari menjelang tahun 2025, jika semua usaha mengenainya berjalan lancar.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan Hitachi-GE  Nuclear Energy Ltd dan surat kerjasama (LoC) dengan Tokyo Institute of Technology’s Research Laboratory for Nuclear Reactors di sini ke arah menjadikan penjanaan kuasa nuklear satu kenyataan negara dalam tempoh 10 tahun.

Kedua-dua dokumen itu telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar bagi pihak UKM manakala Akira Maru, Pegawai Kanan Korporat Hitachi-GE Nuclear Energy dan Prof Dr Masayuki Igashira dari Tokyo Institute of Technology mewakili organisasi masing-masing.

Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Prof Dr Sahrim Haji Ahmad menandatangani kedua-dua dokumen itu sebagai saksi bagi pihak UKM.

Prof Mazlin dalam ucapannya di upacara itu berkata walaupun terdapat sensitiviti bagi penggunaan tenaga nuklear, kelebihannya mengatasi keburukan seperti yang telah terbukti di kebanyakkan negara maju.

Walaupun gempa bumi dan tsunami yang melanda Fukushima di Jepun pada tahun 2011 yang menyebabkan merosakkan reaktor nuklearnya di situ dan mengancam orang ramai, terdapat banyak loji-loji nuklear lain di seluruh dunia yang kekal selamat dan stabil.

“Tidak ada apa yang benar-benar bebas risiko. Terdapat manfaat yang besar jika kita menggunakan tenaga nuklear dengan teliti untuk menjana tenaga lestari dan boleh diperbaharui dengan mengambil langkah-langkah keselamatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau mengakui bahawa pada beberapa tahun kebelakangan ini, bencana di loji nuklear Fukushima Daiichi telah meningkatkan kebimbangan di kalangan rakyat Malaysia mengenai risiko pendedahan kepada bahaya radioaktif.

Prof Mazlin menyeru ahli akademik dan penyelidik untuk berusaha memberi penjelasan kepada orang ramai bahawa penerimaan penggunaan tenaga nuklear adalah untuk kepentingan mereka juga.

“Kita perlu memikirkan cara terbaik untuk menghasilkan modul yang bukan sahaja dapat menyebarkan maklumat mengenai teknologi nuklear tetapi juga untuk mengkaji sensitiviti, kebimbangan dan syak wasangka orang ramai terhadapnya,” tambah beliau.

Penyelidik dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan juga perlu melihat dan mengkaji sikap rakyat negara ini kiranya tenaga nuklear diperkenalkan.

Kedua-dua persetujuan itu membolehkan seramai 18 orang pelajar bidang sains nuklear di UKM melakukan tinjauan dan kajian selama seminggu di Jepun mengenai teknologi nuklear yang digunakan di sana.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Dekan FST (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Rusli Daik dan perintis tenaga nuklear negara Prof Emeritus Noramly Muslim dari UKM.

Prof Mazlin memuji Prof Noramly kerana usaha gigih serta visinya untuk memastikan Malaysia bersedia untuk penggunaan tenaga nuklear.