| |

Lensa Kongkoi: Keberanian Pustakawan UKM Menyusuri Survival dan Jati Diri

Debaran Malam di Pinggir Hutan

Sebelum melangkah ke fasa fizikal yang lebih mencabar, peserta didedahkan dengan slot Team Building & Team Learning (TBTL). Sesi ini menjadi ruang percambahan idea dan perkongsian visi dalam memperkukuh organisasi sebelum ujian fizikal bermula pada waktu malam.

Meskipun hujan lebat dan kilat hampir membatalkan niat, namun semangat ‘Night Walk: Jangan Pandang Belakang’ diteruskan tepat jam 11.00 malam setelah mendapat lampu hijau pasukan keselamatan. Berbekalkan cahaya bulan yang suram, peserta diuji dengan Titian Sirat sepanjang 750 meter dengan kelebaran hanya 8 inci. Fokus dan keberanian menjadi taruhan apabila setiap individu perlu berjalan sendirian melintasi titian tersebut. Jika selama ini kami terbiasa dengan kesunyian perpustakaan yang tenang, malam itu kami belajar menghayati misteri hutan menggunakan deria pendengaran sepenuhnya untuk sampai ke destinasi.

Terbang Tinggi, Melangkaui Limitasi

Hari kedua tidak kurang hebatnya. Usai sesi Tazkirah Subuh, peserta berkumpul untuk senaman pagi bersama Tuan Haji Sofian Harun, Komandan Kem (yang kini telah meninggalkan kita, semoga rohnya dicucuri rahmat). Beliau sempat menitipkan inspirasi melalui perkongsian pengalaman hidupnya dalam arena ketenteraan yang cukup meninggalkan kesan mendalam di hati peserta.

Keberanian peserta sekali lagi diuji melalui slot Flying Fox. Jeritan kepuasan memecah kesunyian tasik apabila hampir semua peserta berjaya meluncur dari ketinggian menara enam tingkat merentasi tasik sepanjang sepanjang 300 meter. Sebelum bersurai, tenaga terakhir dikerah melalui sesi Explorace yang melibatkan tempur halangan dan strategi berkumpulan yang cukup mencabar fizikal.

Sebagai penutup, slot pengurusan stress oleh Lt. Kol. Prof. Madya Dr. (Ust) Haji Daud memberikan input bermakna buat kesejahteraan mental pegawai. Program diakhiri dengan pengiktirafan kepada Encik Abdul Muhaimin Sabron dan Puan Rohalia Mohd Rohani sebagai Peserta Terbaik Kem.

Kembara dua hari di Kongkoi bukan sekadar latihan fizikal, tetapi sebuah perjalanan membina setia kawan. Kami pulang ke perpustakaan bukan sahaja dengan memori indah, tetapi dengan semangat kepimpinan yang lebih utuh untuk terus berbakti kepada universiti. Jumpa lagi di Kongkoi akan datang!

Aktiviti Explorace
Aktiviti Flying Fox
Aktiviti Tempur Halangan
Aktiviti Tempur Halangan
Aktiviti Tempur Halangan
Aktiviti Team Building & Team Learning (TBTL)
Aktiviti Team Building & Team Learning (TBTL)

Siaran Serupa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *