| |

LSP55: Di Sebalik Ribuan Langkah Warga Perpustakaan UKM

Tahun 2025 menjadi saksi satu transformasi yang cukup happening apabila warga Perpustakaan UKM menyarung kasut sukan, mengira langkah, dan mencabar keupayaan diri menerusi Program Langkah Sihat Perpustakaan 55 (LSP55). Lebih daripada sekadar program kecergasan biasa, LSP55 hadir sebagai sebuah gerakan kecil yang membawa impak besar. Ia bukan sahaja membudayakan gaya hidup sihat di tempat kerja, malah menjadi platform yang mengeratkan lagi hubungan sesama warga perpustakaan.

Program LSP55 merupakan inisiatif kesihatan dan kecergasan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perpustakaan UKM sebagai usaha memperkukuh budaya kerja sihat dalam kalangan warga perpustakaan. Dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-55 UKM, angka “55” pada nama program bukan sekadar simbolik, malah menjadi pemangkin semangat untuk warga perpustakaan bergerak bersama ke arah kesejahteraan yang lebih baik.

Di Sebalik Tabir Strategi: Bagaimana Mata Dikira?

Bagi memastikan persaingan kekal telus dan berintegriti, sistem pemantauan yang sangat sistematik telah diatur sepanjang 11 minggu cabaran ini. Penilaian akhir berdasarkan kepada dua KPI utama iaitu jumlah langkah dan berat badan. Formulanya mudah, siapa yang mengumpul jumlah langkah terbanyak dan siapa yang berjaya mencatatkan penurunan berat badan paling tinggi, mereka bakal menggondol mata tertinggi. Bagi pemantauan berat badan, timbangan rasmi hanya direkodkan pada hari pertama dan hari terakhir program sahaja bagi melihat hasil impak yang sebenar.

Bagi langkah mingguan pula, ketua kumpulan bertanggungjawab mengumpul dan merekodkan jumlah langkah ahli masing-masing ke dalam Google Form rasmi. Setiap data yang dihantar wajib disertakan dengan bukti tangkapan skrin (screenshot) daripada aplikasi Google Fit yang disyorkan sebagai aplikasi rasmi program bagi memudahkan urus setia membuat penilaian.

Misi 11 Minggu, Perjuangan Mencari Langkah

Bermula dari 1 Ogos hingga 9 Oktober 2025, bermulalah diari kecergasan warga perpustakaan dengan pelbagai aktiviti kecergasan yang dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Seramai 48 orang peserta dengan penuh komitmen telah mendaftarkan diri dengan yuran komitmen RM50.00 seorang yang melayakkan mereka menerima t-shirt rasmi program sebagai tanda penyertaan dan kenang-kenangan.  

Walaupun terdapat yuran dikenakan, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila warga perpustakaan memberikan sokongan penuh, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi terhadap kepentingan kesihatan. Bagi memastikan pelaksanaan lebih sistematik dan interaktif, peserta dibahagikan kepada 12 kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada 4 orang ahli. Kaedah ini bukan sahaja memudahkan pengurusan aktiviti, malah menggalakkan semangat kerjasama, komunikasi berkesan dan persaingan sihat antara kumpulan.

Sepanjang program, peserta tidak hanya mengejar langkah. Mereka dicabar untuk konsisten dan berdisiplin merekod langkah setiap minggu, memantau perubahan berat badan, dan mengekalkan momentum gaya hidup aktif.

Siaran Serupa

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *