Pusat Kebudayaan Universiti

 Universiti Kebangsaan Malaysia

LATAR BELAKANG

Unit Kebudayaan telah ditubuhkan pada tahun 1975 ketika Universiti Kebangsaan Malaysia masih lagi beroperasi di kampus Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Selain untuk memenuhi inspirasi dari Dasar Kebudayaan Kebangsaan, penubuhan Unit Kebudayaan turut didorong oleh faktor penubuhan universiti. Unit ini diletakkan di bawah pentadbiran Hal Ehwal Pelajar UKM. Terdapat penyertaan kakitangan dan para pelajar yang berminat menyertai aktiviti-aktiviti kesenian di Unit Kebudayaan. 

Unit Kebudayaan berpindah ke Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) pada tahun 1980. Penyertaan para pelajar dan kakitangan dengan aktiviti seni dan budaya terus berkembang dengan menyertai Kelab Artis-Artis Universiti Kebangsaan Malaysia atau ARTISUKMA di bawah pengawasan unit ini seperti muzik, silat, tarian, teater, gamelan dan lukisan.

Unit ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Persuratan Melayu yang telah membawa beberapa kursus untuk ditawarkan sebagai subjek elektif di Unit ini. Aktiviti seni tari gamelan telah dibawa oleh Siti Zainon Ismail dan seni muzik gamelan dibawa oleh Inon Shaharuddin kepada kakitangan dan pelajar UKM. Pada tahun 1981, seni muzik gamelan telah berjaya membuat rakaman dalam bentuk piring hitam. Perkembangan Unit Kebudayaan pada sekitar tahun 1980-an turut meliputi seni persembahan dan seni lukis. 

Era tahun 1990-an memperlihatkan perkembangan Unit Kebudayaan sehingga ke peringkat luar universiti selain melahirkan pelajar yang berbakat dan terlatih untuk meneruskan pengajian dalam bidang kesenian di peringkat yang lebih tinggi di mana ramai pelajar telah berjaya menjadi penggiat seni dan tenaga pengajar profesional di institut-institut kebudayaan di negara ini. 

Pada tahun 2000, Unit Kebudayaan telah dinaik taraf sebagai Pusat Kebudayaan. Pusat Kebudayaan memainkan peranan yang besar sebagai sebuah institusi yang menerajui segala kegiatan kesenian dan kebudayaan di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pusat Kebudayaan menjadi pusat dalam setiap program kokurikulum kebudayaan dan kesenian di universiti ini yang kini terbukti sebagai sebuah institusi yang unggul dalam melahirkan bakat-bakat seni yang terdiri daripada para pelajar dan kakitangan UKM. 

Jabatan ini telah dinamakan sebagai Pusat Kebudayaan Universiti (PKEB) pada tahun 2014 selaras dengan penstrukturan nama baru oleh pihak universiti dan ditempatkan di bawah Timbalan Naib Canselor, Hal-ehwal Pelajar, UKM