UMBI CRISPR Genome Editing Workshop 2022
Ditulis oleh : ChM. Nur Nadia Razali & Nurul Nadia Mohamad Zamberi
Tarikh : 18 – 20 Oktober 2022
INSTITUT BIOLOGI MOLEKUL PERUBATAN UKM
UMBI telah menganjurkan CRISPR Genome Editing Workshop pada 18 – 20 Oktober 2022 yang lalu. Bengkel ini telah berlangsung selama 3 hari yang dipengerusikan oleh Ts. Dr. Saiful Effendi Syafruddin bersama timbalannya, Dr. Mohamad Aimanuddin Mohtar. Seramai 17 orang peserta telah menghadiri bengkel ini yang majoritinya terdiri daripada ahli akademik dan penyelidik dari IPTA (UKM, UM, UiTM, UNISZA dan UIA) serta agensi swasta (FGV R&D Sdn. Bhd). Peserta bengkel kali ini bukan sahaja dari Semenanjung Malaysia malah dari seberang Laut China Selatan di mana terdapat 4 orang peserta dari Swinburne University of Technology dan CRAUN Research Sdn. Bhd.
Tujuan utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memperkenalkan prinsip dan aplikasi Teknologi CRISPR dalam bidang penyelidikan biologi/bioteknologi dan perubatan. Bengkel ini juga memberi pendedahan mendalam tentang aliran kerja dan aspek teknikal berkaitan penggunaan teknologi CRISPR untuk mengedit gen dalam sel eukariotik. Ini termasuk (i) reka bentuk guide RNA, (ii) visualisasi kawasan sasaran (iii) pemilihan dan pengklonan ke dalam ekspresi vektor (iv) penghantaran ke dalam sel dan (v) pencirian sel yang diedit. Para peserta juga berpeluang menjalankan amali untuk mereka bentuk dan mengklon guide RNA ke dalam ekspresi vektor, dan seterusnya penghantaran ke dalam sel selanjar kanser. Selain itu, jawatankuasa penganjur juga telah mengambil kesempatan untuk menyambut Hari CRISPR Sedunia yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun. Bagi memeriahkan sambutan, satu sesi memotong kek telah diadakan yang diketuai oleh Ts. Dr. Saiful Effendi Syafruddin dan Dr. Mohamad Aimanudin Mohtar.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat maklum balas yang amat positif daripada para peserta. Ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjuran di atas kerja keras untuk memastikan bengkel ini berjalan lancar dan menepati objektif penganjuran. Juga kepada syarikat PLT Scientific Sdn. Bhd. selaku penganjur bersama dan pihak Pengurusan UMBI di atas sokongan yang telah diberikan. Diharap penganjuran bengkel ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang sebagai platform untuk berkongsi ilmu dan kepakaran serta meletakkan UMBI sebagai tempat rujukan Teknologi CRISPR di dalam negara.

Untuk maklumat lanjut berkenaan CRISPR Genome Editing Workshop 2022 sila klik: https://www.ukm.my/umbi/
Gambar Program : UMBI CRISPR Genome Editing Workshop 2022