Program Saringan Kanser Kolorektal Di Perumahan Awam Sri Johor (A & B), Cheras KL

15 Oktober 2022 – UMBI dengan kerjasama Fakulti Perubatan UKM, DBKL dan Persatuan Penduduk Komuniti Bandar Tun Razak telah bekerjasama secara kolektif di dalam melaksanakan Program Saringan Kanser Kolorektal di Dewan Merdeka PPR Sri Johor. Program ini merupakan siri yang ke 3 mensasarkan kepada kelompok B40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.

Sehingga kini, program ini masih berlangsung dan telah berjaya melibatkan hampir 200 orang peserta untuk menyertai ujian saringan kanser kolorektal menggunakan kit Ujian Pengesanan Darah Di dalam Najis (iFOBT) secara percuma. Program ini dibiayai oleh dana penyelidikan; Projek Pemeriksaan Kanser Kolorektal Menggunakan Ujian Darah Pada Najis (iFOBT) dalam Populasi Malaysia berumur 40 – 65 tahun (HiCOE-CRC) dan juga dana daripada Program KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Di Malaysia, kanser kolorektal merupakan kanser utama bagi lelaki dan kedua selepas kanser payudara bagi wanita. Selain itu, Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016 melaporkan lebih 70% kanser kolorektal dikesan berada pada tahap 3 dan 4, iaitu tahap akhir yang sukar untuk dirawat dan dipulihkan. Projek ini bertujuan untuk mengakses tahap kesedaran komuniti penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Cheras, Kuala Lumpur disamping menyediakan platform saringan awal kanser kolorektal secara percuma.

Peserta yang berkeputusan positif di dalam saringan ini, akan diberikan rawatan susulan kolonoskopi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) juga secara percuma. Dan di akhir projek ini, analisa keberkesanan kos saringan awal kanser kolorektal menggunakan kit iFOBT akan turut dilaksanakan.

Diharapkan program ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kanser kolorektal termasuk cakna terhadap pengesanan tanda-tanda awal kanser ini. Pengesanan dan rawatan kanser ini diperingkat awal akan memberi impak ke atas pengurangan beban kewangan masyarakat terhadap kos perawatan disamping meningkatkan kualiti hidup, kesihatan dan kemandirian rakyat secara keseluruhan.

Gambar foto:

Program Di Perumahan Awam Sri Johor (A & B), Cheras KL

Artikel berkaitan:

  1. Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti Bandar Tun Razak
  2. Program Saringan Kanser Kolorektal Komuniti PPR Sri Kota, Bandar Tun Razak