Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC)

Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) diwujudkan bagi menggalakkan aktiviti penyelidikan berasaskan aspek biotik dan abiotik yang tergolong dalam kepelbagaian flora dan fauna, air, tanih dan udara. PPTC ditubuhkan di bawah naungan Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), khusus untuk menjalankan penyelidikan, pengajaran, kerja lapangan, kesedaran alam sekitar dan penyebaran maklumat mengenai pengurusan tasik bersepadu kepada masyarakat. Pihak Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan tanah seluas 20 ekar di perkarangan Tasik Chini untuk dijadikan tapak pembangunan kompleks PPTC. Jalinan di antara Kerajaan Negeri Pahang dan UKM dalam penubuhan PPTC adalah selaras dengan tuntutan pelaksanaan dasar-dasar yang terkandung di dalam Rancangan Fisikal Negeri Pahang (2001-2020) dan Rancangan Tempatan Daerah Pekan (2002-2015) dalam pembangunan lestari dan pemuliharaan Tasik Chini sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).