Latar Belakang

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan atas hasrat dan kehendak rakyat yang mahukan sebuah universiti “kebangsaan” diwujudkan di negara ini. Warga UKM pada hari ini perlu  memastikan semangat kebangsaan serta aspirasi rakyat ini terus dipahatkan dan diperjuangkan. Justeru, UKM sebagai Pendaulat Amanah Negara (Guardian of The Nation) meletakkan isu negara sebagai permasalahan yang perlu ditangani oleh UKM.

Sesuai dengan peredaran masa, perubahan ekonomi, sosial dan masyarakat serta kehendak pemegang taruh, UKM perlu peka dengan perubahan dan bertindak awal untuk memastikan bahawa ia sentiasa relevan, dirujuk dan dihormati (relevant, referred, respected). Perubahan yang dilakukan adalah bersifat kontekstual yang bukan mengikut trend, bersesuaian dengan kehendak negara dan masyarakat supaya UKM sentiasa memainkan peranannya sebagai Pendaulat Amanah Negara.

UKM mestilah menyediakan satu tawaran bernilai tinggi (value offering) khusus UKM yang berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi lain. Ia akan menjadikan UKM sebagai tumpuan masyarakat di Malaysia dan antarabangsa. Graduan UKM misalnya akan boleh dikenali istimewanya melalui gerak lakunya atau pandangan yang diberikan. Setiap Pusat Tanggungjawab akan menyediakan tawaran bernilai tinggi kepada masyarakat yang akan menjadikan UKM sebagai pilihan utama  kepada pemegang taruh termasuk ibu bapa, industri, kerajaan serta agensi dalam dan luar negara.

UKM telah mengenalpasti enam (6) Bidang Keberhasilan Utama (Key Result Areas – KRA) yang menjadi dasar kepada hala tuju strategik pada masa hadapan:

  1. Siswazah Beraspirasi Kebangsaan, Kompeten, Berdaya Saing dan Inovatif
  2. Penyelidikan dan Inovasi yang Berimpak Tinggi
  3. Perkongsian Pintar dan Keterlibatan Strategik
  4. Sumber Manusia dan Institusi Cemerlang
  5. Penjanaan Kekayaan Secara Optimum dan Strategik
  6. Prasarana dan Persekitaran Ilmu yang Kondusif

Sesuai dengan hasrat UKM supaya semua perancangan dan  pengoperasian yang perlu disandarkan kepada 6 KRA tersebut, Pusat Strategi UKM (Strategi-UKM) telah ditubuhkan pada 1 Mei 2014 di bawah Pejabat Naib Canselor untuk memudah cara dan memantau pelaksanaan 6 KRA yang telah ditetapkan di semua peringkat.