Kualiti – UKM

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Soalan Lazim

  • Sistem Pengurusan Kualiti
    1. Apa itu ISO?
    2. Apa hubungan ISO 9001 dan Kualiti?
    3. Apakah hubungan ISO dan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM)?
    4. Apa Faedah-faedah ISO 9001?
    5. Apakah Skop SPK di UKM?

    1. Apa itu ISO?

    International Organization for Standardization (ISO) atau Pertubuhan Penstandardan Antarabangsa ialah Persekutuan Standard Kebangsaan (badan anggota ISO) di seluruh dunia. Ianya juga adalah satu piawai bertulis yang menetapkan dan menerangkan keperluan asas yang perlu ada dalam sistem kualiti bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan oleh sesebuah organisasi dapat memenuhi kehendak pelanggan. Standard Antarabangsa ini menggalakkan penerimagunaan pendekatan proses apabila membangunkan, melaksanakan dan menambahbaik keberkesanan Sistem Pengurusan Kualiti bagi meningkatkan kepuasan pelanggan dengan cara memenuhi keperluan pelanggan.

     

    2. Apa hubungan ISO 9001 dan Kualiti?

    ISO 9001 ialah piawai antarabangsa yang menjelaskan keperluan di dalam Sistem Pengurusan Kualiti. Ia diaplikasikan di dalam sesebuah organisasi bagi menunjukkan kemampuan untuk menghasilkan produk dan penyediaan perkhidmatan yang konsisten bersesuaian dengan kehendak pelanggan dan keperluan perundangan yang digunapakai. Pemakaian ISO menggalakkan pendekatan proses di dalam membangun, melaksana dan menambahbaik keberkesanan Sistem Pengurusan Kualiti.

     

    3. Apakah hubungan ISO dan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM)?

    ISO menyediakan asas yang kukuh bagi pelaksanaan TQM. TQM adalah satu proses pengurusan kualiti yang berasaskan kepada falsafah kualiti berorientasikan pelanggan, berjalan secara berterusan, melibatkan semua aspek organisasi dan memberi penekanan kepada kerja berpasukan. Aspek utama organisasi yang menjadi tumpuan TQM ialah sokongan pengurusan, perancangan strategik kualiti dan pengurusan proses. Sistem kualiti dan sistem kepastian kualiti yang diwujudkan melalui pelaksanaan ISO akan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan pengurusan proses yang diberi tumpuan oleh TQM. Dengan demikian, pelaksanaan ISO boleh memantapkan usaha ke arah pelaksanaan TQM.

     

    4. Apa Faedah-faedah ISO 9001?

    Pelaksanaan ISO 9001 akan memberi faedah kepada organisasi termasuk:

      1. Mengurangkan tindakan pembetulan yang diambil selepas berlakunya sesuatu masalah.
      2. Membolehkan organisasi mengenalpasti tugas yang patut dijalankan serta memperincikan tindakan yang perlu diambil.
      3. Memberi kaedah bagi mendokumenkan secara tersusun amalan pengurusan dan cara bekerja.
      4. Membolehkan organisasi mengenalpasti dan mengatasi masalah serta mengelakkannya daripada berulang.
      5. Membolehkan staf menjalankan tugas mereka dengan betul pada kali pertama dan setiap kali (right at the first and everytime).
      6. Membolehkan organisasi membuktikan kepada pihak yang membuat penilaian bahawa perkhidmatan yang diberi dan sistem yang digunakan adalah terkawal.
      7. Membolehkan organisasi membuat keputusan dengan lebih baik melalui maklumat penting.

     

    5. Apakah Skop SPK di UKM?

    Sistem Pengurusan Kualiti Perkhidmatan (SPKP UKM)

    Skop Pensijilan di bawah SPKP UKM meliputi 23 PTJ yang memberikan perkhidmatan berikut:

    1. Pengurusan Sumber Manusia dan Perkhidmatan Am (Jabatan Pendaftar/Pejabat Penasihat Undang-Undang/Profesional)
    2. Pengurusan Kewangan –(Jabatan Bendahari)
    3. Pengurusan Perpustakaan (Perpustakaan)
    4. Pengurusan (Perkhidmatan)
    5. Teknologi Maklumat (Pusat Teknologi Maklumat)
    6. Pengurusan Bangunan dan Penyelenggaraan (PRASARANA)
    7. Pengurusan Penerbitan (Penerbit, UKM)
    8. Pengurusan Penyelidikan (Pusat Pengurusan Penyelidikan & Instrumentasi)
    9. Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pejabat Keselamatan Kesihatan Pekerjaan)
    10. Pengurusan Komunikasi Korporat (Pusat Komunikasi Korporat)
    11. Pengurusan Sukan (Pusat Sukan)
    12. Pengurusan Pengauditan (Unit Audit Dalam)
    13. Pengurusan Harta Intelek (Pusat Inovasi Kolaboratif)
    14. Pengurusan Penginapan Kolej Kediaman (Kolej Kediaman)
    15. Pengurusan Aktiviti Antarabangsa UKM (Pusat Hubungan Antarabangsa)
    16. Pengurusan Perkhidmatan Kebudayaan (Pusat Kebudayaan)
    17. Pengurusan Perkhidmatan Pelajar dan Alumni (SISWA-UKM/ALUMNI-UKM)
    18. Pengurusan Aktiviti Komuniti (Pejabat Hubungan Universiti Masyarakat)
    19. Pengurusan Kerjasama dan Hubungan Industri (Pejabat Hubungan Industri)
    20. Pengurusan Penubuhan Dana Endowmen dan Kursi (Yayasan Canselor)
    21. Pengurusan Perkhidmatan Kesihatan (Pusat Kesihatan)

     

    Sistem Pengurusan Kualiti Pengurusan Pengajian Prasiswazah dan Siswazah (SPK PPPS)

    Skop Pensijilan di bawah SPK PPPS meliputi PTJ yang menguruskan perkhidmatan berikut:

    1. Reka Bentuk Program Pengajian
    2. Pengambilan Pelajar
    3. Pendaftaran Pelajar
    4. Pengajaran dan Penyeliaan
    5. Pengurusan Peperiksaan
    6. Pengijazahan

    Senarai PTJ di bawah skop SPK PPPS

    1 Fakulti Ekonomi & Pengurusan
    2 Fakulti Farmasi
    3 Fakulti Kejuruteraan & Alam Bina
    4 Fakulti Pendidikan
    5 Fakulti Pengajian Islam
    6 Fakulti Pergigian
    7 Fakulti Perubatan
    8 Fakulti Sains & Teknologi
    9 Fakulti Sains Kesihatan
    10 Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
    11 Fakulti Teknologi & Sains Maklumat
    12 Fakulti Undang-Undang
    13 Institut Alam & Tamadun Melayu
    14 Institut Alam Sekitar & Pembangunan
    15 Institut Biologi Sistem
    16 Institut Informatik Visual
    17 Institut Islam Hadhari
    18 Institut Kajian Etnik
    19 Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa
    20 Institut Kejuruteraan Mikro & Nanoelektronik
    21 Institut Penyelidikan Tenaga Suria
    22 Institut Perubatan Molekul
    23 Institut Sel Fuel
    24 Pusat Kembangan Pendidikan
    25 Pusat Pengurusan Akademik
    26 Pusat Siswazah
    27 UKM-Graduate School of Business

     

    Sistem Pengurusan Kualiti Pusat Perubatan UKM (SPK PPUKM)

    Skop Pensijilan di bawah SPK PPPS ialah meliputi 22 PTJ di bawah PPUKM yang memberikan perkhidmatan berikut:

    • Perawatan Kesihatan Pesakit Luar dan Dalam  (20 Jabatan)
    • Pengurusan Sumber Manusia (Sumber Manusia)
    • Pengurusan Kewangan (Kewangan)

     

     

  • Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat (ISMS)
    1. Apakah ISMS
    2. Skop Pelaksanaan ISMS
    3. Pihak yang terlibat
    4. Tarikh kuatkuasa

    1. Apakah ISMS

    Pengurusan Sistem Keselamatan Maklumat adalah berasaskan kepada standard IS0/IEC 27001:2013 Information Technology – Security Techniques – Information Security System Management (ISMS). Pematuhan kepada Standard ISO/IEC 27001:2013 adalah jaminan kepada Pihak Berkepentingan dan Pelanggan bahawa maklumat yang berkaitan adalah dilindungi dan selamat daripada kerosakan, hilang atau disalahguna.

     

    2. Skop Pelaksanaan ISMS

    Pengurusan pangkalan data Sistem Maklumat Universiti (SMU)  yang merangkumi sumber manusia, maklumat, proses dan teknologi di Pusat Teknologi Maklumat UKM. Pangkalan data Sistem Maklumat Universiti (SMU) ini menyokong kepada proses kritikal UKM merangkumi sistem berikut:

      • Pengurusan Maklumat Kakitangan
      • Pengurusan Maklumat Pelajar
      • Pengurusan Kewangan dan Perakaunan Universiti
      • Pengurusan Penyelidikan Universiti

     

    3. Pihak yang terlibat

      1. Pusat Teknologi Maklumat
      2. Jabatan Teknologi Maklumat PPUKM
      3. Jabatan Pendaftar
      4. Jabatan Bendahari
      5. Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan
      6. Pejabat Pengurusan Risiko
      7. Pejabat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

     

    4. Tarikh kuatkuasa

    1 Mei 2014

  • Sistem Persekitaran Berkualiti (5S)
    1. Apakah Maksud Amalan 5S?
    2. Bagaimanakah 5S Dapat Menyumbang Kepada Pembangunan Organisasi?
    3. Apakah Amalan-amalan 5S?
    4. PTJ yang telah mendapat Pensijilan Amalan 5S di UKM

    1. Apakah Maksud Amalan 5S?

    Amalan 5S merupakan satu kaedah pengurusan yang dipelopori oleh pihak industri di Jepun bagi mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa, kemas dan selamat. Amalan 5S bermatlamat mewujudkan persekitaran tempat kerja yang berkualiti secara sistematik dan praktikal. Pelaksanaan Amalan 5S yang berkesan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan, menjimatkan kos dan memudahkan proses kerja.

     

    2. Bagaimanakah 5S Dapat Menyumbang Kepada Pembangunan Organisasi?

    Amalan 5S berupaya memperkukuhkan lagi Sistem Pengurusan Kualiti PTJ berasaskan Standard MS ISO 9000, khususnya dalam memenuhi klausa Pengurusan Sumber berkaitan Persekitaran Kerja. Pelaksanaan Amalan 5S yang cekap, berkesan dan konsisten akan memberi nilai tambah kepada imej korporat organisasi secara keseluruhan.

     

    3. Apakah Amalan-amalan 5S?

      1. Seiri (Sisih) – Sisih memberikan tumpuan kepada pengasingan dan barang-barang yang tidak diperlukan di tempat kerja.
      2. Seiton (Susun) – Susun merujuk kepada prinsip “setiap barang ada tempatnya dan setiap tempat ada barangnya”. Penekanan SUSUN tertumpu kepada kaedah penyusunan yang teratur, kemas, berkesan dan selamat.
      3. Seiso (Sapu) – Sapu adalah tindakan bagi memastikan ruang tempat kerja atau peralatan bersih daripada habuk/debu yang boleh menjejaskan fungsi peralatan, kualiti produk dan kesihatan. Sapu juga memberi penekanan kepada penjagaan kebersihan bagi memastikan tempat kerja yang selesa dan selamat untuk peningkatan kualiti kerja dan perkhidmatan.
      4. Seiketsu (Seragam) – Seragam bermaksud sekeadaan, sebentuk dan sewarna sama ada pada ciri-ciri, susun atur atau peraturannya. Aktiviti 5S diperingkat ini dapat dilaksanakan dengan mewujudkan keseragaman prosedur, susun atur dan piawai.
      5. Shitsuke (Sentiasa Amal) – Sentiasa Amal ialah usaha mengekalkan 4 Amalan 5S yang (Sentiasa Amal) pertama iaitu Seiri, Seiton, Seiso dan Seiketsu di samping melaksanakan penambahbaikan berterusan di premis jabatan. Sentiasa Amal memerlukan komitmen dan penyertaan berterusan seluruh warga kerja serta disiplin diri bagi memastikan Amalan 5S dapat dilaksanakan secara berkesan dan cekap.

     

    4. PTJ yang telah mendapat Pensijilan Amalan 5S di UKM

      • Pusat Perubatan UKM : 2008
      • Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi : 2010
      • Pusat Teknologi Maklumat : 2013
      • Pusat Pengurusan Korporat : 2014

     

    Maklumat lanjut boleh didapati di Sistem Pengurusan Dokumen klik

  • Audit dan Penandaarasan
    1. Bilakah penilaian untuk tujuan Akreditasi Penuh sesuatu program bermula?
    2. Apakah yang dinilai semasa Akreditasi Penuh?
    3. Berapa kerapkah semakan program perlu dilakukan?
    4. Adakah status keperluan  Program Profesional  dalam Akreditasi Sementara?
    5. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi Penuh?
    6. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi Sementara?
    7. Apakah yang dimaksudkan dengan Swaakreditasi?
    8. Bilakah UKM dianugerahkan taraf Institusi Swaakreditasi?
    9. Untuk tujuan semakan program apakah format/dokumen yang perlu dipatuhi?
    10. Sekiranya ingin menawarkan program baru, apakah yang perlu dibuat oleh PTJ?
    11. Apakah kaitan program pengajian dan kelayakan yang diakreditkan dengan pendaftaran dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)?
    12. Mengapakah perlu bagi sesuatu program pengajian untuk didaftarkan ke dalam MQR?
    13. Apakah bahan-bahan rujukan yang boleh membantu dalam penyediaan dokumen MQA-01?
    14. Apakah maksud Penilaian Kendiri Program yang diperlukan dalam penyediaan dokumen MQA-02 ?
    15. Apakah instrumen yang boleh membantu dalam membuat penilaian kendiri program?
    16. Apakah proses dan prosedur bagi cadangan program baru?
    17. Apakah proses dan prosedur bagi semakan program sedia ada?
    18. Apakah proses dan prosedur bagi akreditasi program professional?
    19. Di manakah saya boleh mendapatkan khidmat nasihat tentang penyediaan dokumen KPM dan MQA bagi program baru?

    1. Bilakah penilaian untuk tujuan Akreditasi Penuh sesuatu program bermula?

    Proses penilaian untuk tujuan Akreditasi Penuh sesuatu program itu bermula apabila pelajar kohort pertama program tersebut memasuki tahun akhir pengajian.

     

    2. Apakah yang dinilai semasa Akreditasi Penuh?

    Mengikut amalan terbaik antarabangsa, proses akreditasi program ini melibatkan, antara lain, penilaian kendiri serta penilaian dan penyediaan laporan oleh panel penilai. Penilaian ini harus berpandukan suatu kod amalan akreditasi. Contohnya Code of Practice for Programme Accreditation (COPPA), Malaysian Qualifications Agency (MQA)  atau yang seumpamanya. Proses ini berakhir dengan perakuan rasmi oleh pihak berautoriti yang memperakukan pengakreditan program tersebut.

    3. Berapa kerapkah semakan program perlu dilakukan?

    Institusi berstatus swaakreditasi perlu menjalankan proses penilaian semula yang komprehensif terhadap program yang telah diakredit dari semasa ke semasa (contohnya, sekali dalam setiap lima tahun) untuk memastikan kualiti program ini dapat dipertingkatkan.

    4. Adakah status keperluan  Program Profesional  dalam Akreditasi Sementara?

    Sama seperti program lain, semua program profesional  perlu mendapatkan kelulusan Akreditasi Sementara (Provisional Accreditation) daripada Senat. Walau bagaimanapun, semua program profesional yang mendapat akreditasi daripada Badan Profesional boleh terus memohon untuk mendapat pengesahan Senat untuk kemasukan ke dalam Daftar Kelayakan Malaysia tertakluk kepada kelulusan akreditasi program tersebut.

    5. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi Penuh?

    Akreditasi Penuh adalah satu aktiviti penilaian untuk memastikan bahawa kegiatan pengajaran, pembelajaran,  dan semua aktiviti laian yang berkaitan dengan sesuatu program yang ditawarkan oleh sesebuah Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) telah menepati standard kualiti dan memenuhi Kerangka Kelayakan Malaysia.

    6. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi Sementara?

    Akreditasi Sementara adalah satu perlakuan penilaian untuk memastikan sama ada sesuatu program itu telah menepati keperluan kualiti minimum sebelum dianugerahkan Akreditasi Penuh.

    7. Apakah yang dimaksudkan dengan Swaakreditasi?

    Swaakreditasi adalah satu status yang melayakkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mengakreditasi sendiri program pengajian tanpa perlu mendapat kelulusan, Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan hanya dimaklumkan sahaja kepada MQA dan KPM tertakluk kepada pemantauan berterusan dan audit institusi oleh MQA. Walau bagaimanapun, akreditasi tersebut tidak termasuk program profesional yang masih perlu mendapat akreditasi dan pengiktirafan badan profesional yang berkaitan.

    8. Bilakah UKM dianugerahkan taraf Institusi Swaakreditasi?

    UKM telah dianugerahkan taraf Institusi Swaakreditasi berkuat kuasa pada 29 April 2010.

    9. Untuk tujuan semakan program apakah format/dokumen yang perlu dipatuhi?

    Format/dokumen yang perlu dipatuhi untuk tujuan semakan program adalah dokumen Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA) MQA-02.

    10. Sekiranya ingin menawarkan program baru, apakah yang perlu dibuat oleh PTJ?

    Selepas cadangan program baru dipersetujui oleh Mesyuarat Fakulti/Institusi, dokumen Permohonan  Program (permohonan mengikut Garis Panduan Penulisan Program Akademik KPT, dokumen utama mengikut format COPPA MQA-01, dan dokumen sokongan yang meliputi minit Mesyuarat Fakulti dan laporan Jawatankuasa Kurikulum Program Baru hendaklah dihantar kepada Pusat Jaminan Kualiti (PJK). PJK bertanggungjawab menyemak kecukupan dokumen. Sekiranya tidak lengkap, PJK akan memulangkan semula kepada Fakulti untuk dilengkapkan.

    11. Apakah kaitan program pengajian dan kelayakan yang diakreditkan dengan pendaftaran dalam Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)?

    Mengikut Akta Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) 2007, semua program pengajian dan kelayakan yang telah diakreditkan oleh  MQA akan didaftarkan dalam Malaysian Qualifications Register  (MQR). MQR merupakan daftar program yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia.

    12. Mengapakah perlu bagi sesuatu program pengajian untuk didaftarkan ke dalam MQR?

    Keperluan sesuatu program pengajian didaftarkan ke dalam MQR adalah untuk:

      • mengesahkan bahawa Program pengajian dan kelayakan tersebut telah melalui proses jaminan kualiti, iaitu ia selaras dengan standard dan kriteria yang ditetapkan dan mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF);
      • memudahkan pemindahan kredit;
      • membolehkan pelajar melanjutkan pelajaran di institusi tempatan atau luar negara;
      • membolehkan pelajar dipertimbangkan untuk pelantikan ke perkhidmatan awam; dan
      • memudahkan pelajar mendapat bantuan kewangan.

     

    13. Apakah bahan-bahan rujukan yang boleh membantu dalam penyediaan dokumen MQA-01?

    Bahan-bahan rujukan yang boleh membantu dalam penyediaan dokumen MQA-01;

      1. Garis Pandun Penulisan Program Akademik Kementerian Pengajian Tinggi
      2. Kod Amalan Akreditasi Program (COPPA)
      3. Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF):  Titik Rujukan dan Persefahaman Bersama Tentang Kelayakan Pengajian Tinggi Di Malaysia
      4. Undang-Undang Malaysia Akta 679 (Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007)

     

    14. Apakah maksud Penilaian Kendiri Program yang diperlukan dalam penyediaan dokumen MQA-02?

    Penilaian Kendiri Program adalah satu perlakuan penilaian yang dikendalikan  oleh Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) melalui jabatan yang berkenaan untuk memastikan sama ada sesuatu program telah mencapai standard kualiti bagi tujuan Akreditasi Penuh program.

    15. Apakah instrumen yang boleh membantu dalam membuat penilaian kendiri program?

    Penilaian Kendiri boleh dimulakan dengan menjalankan analisis jurang untuk setiap standard asas dan standard tinggi serta memberikan penarafan secara kuantitatif mengikut format yang disediakan oleh urus setia . Bagi pencapaian melebihi standard yang ditetapkan ia boleh dianggap sebagai kekuatan dan pencapaian yang lebih rendah daripada standard dikelaskan sebagai bidang yang memerlukan perhatian.

    16. Apakah proses dan prosedur bagi cadangan program baru?

    Proses dan prosedur pengurusan program pengajian baru adalah seperti berikut :

      • Dekan/Pengarah menubuhkan Jawatankuasa Kurikulum Program Baru (JKPB) yang diketuai oleh Ketua Program/Ketua Jabatan untuk mengemukakan cadangan program pengajian baru (permohonan mengikut Garis Panduan Penulisan Program Akademik Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Standard Program dan portfolio penilaian program mengikut format COPPA MQA-01) serta menyemak kelestarian, kerelevanan, isu, cabaran dan penilaian program.
      • JKPB berhubung dengan Pusat Pembangunan Akademik (PPA) untuk mendapatkan khidmat nasihat semasa penyediaan dokumentasi dengan PPA bertanggungjawab memastikan dokumentasi tersebut memenuhi keperluan yang ditetapkan.
      • Cadangan program pengajian baru yang telah lengkap dibawa ke Mesyuarat Fakulti/Institut yang dipengerusikan oleh Dekan/Pengarah yang bertanggungjawab menyemak penyediaan kemudahan, sumber manusia, kewangan dan lain-lain.
      • Selepas cadangan program baru tersebut dipersetujui oleh Mesyuarat Fakulti, dokumen tersebut dihantar kepada Pusat Jaminan Kualiti (PJK).
      • PJK bertanggungjawab menyemak kecukupan dokumen (permohonan mengikut Garis Panduan Penulisan Program Akademik KPM, dokumen utama mengikut format COPPA MQA-01, dan dokumen sokongan yang meliputi minit Mesyuarat Fakulti dan laporan Jawatankuasa Kurikulum Program Baru). Sekiranya tidak lengkap, PJK akan memulangkan semula kepada Fakulti untuk dilengkapkan.
      • Jika dokumen lengkap, PJK melantik  panel penilai.
      • Panel penilai bertanggungjawab menyemak dokumen yang dihantar sama ada memenuhi keperluan COPPA, Standard Program dan Garis Panduan Penulisan Program Akademik (KPM). Sekiranya tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, panel penilai memaklumkan kepada PJK keperluan yang perlu dibuat penambahbaikan. Proses ini berulang sehingga kriteria tersebut dipenuhi dan panel penilai mengemukakan laporan untuk diserahkan kepada PJK.
      • PJK mengemukakan laporan panel penilai kepada Jawatankuasa Perancangan dan Perkembangan Akademik (JPPA) untuk memperakukan cadangan program baru tersebut kepada Senat.
      • JPPA bertindak sebagai pihak yang bertanggungjawab memperakukan cadangan program baru berdasarkan kepada laporan panel penilai. Jika tidak diperakukan, JPPA mengembalikan laporan tersebut kepada PJK untuk disemak semula oleh panel penilai.
      • Setelah diperakukan oleh JPPA, cadangan program baru tersebut dikemukakan kepada Senat untuk kelulusan. Jika tidak diluluskan, Urus Setia Senat akan mengembalikan cadangan tersebut kepada PJK yang memaklumkan keputusan tersebut kepada JPPA.
      • Apabila cadangan diluluskan oleh Senat, cadangan program baru tersebut akan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) untuk kelulusan peruntukan sumber manusia dan kewangan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk makluman dan MQA untuk pendaftaran ke dalam sistem “e-Semakan Kursus Pengajian”.

     

    17. Apakah proses dan prosedur bagi semakan program sedia ada?

    Proses dan prosedur pengurusan program pengajian sedia ada adalah seperti berikut:

      • Pusat Jaminan Kualiti (PJK) mengenal pasti program akademik yang perlu disemak semula mengikut kitaran semakan program dan memaklumkan kepada Fakulti/Institut/Pusat untuk melaksanakan proses audit dan semakan program pengajian.
      • Dekan melantik Jawatankuasa Semakan Program (JKSP) yang diketuai oleh Ketua Program/Ketua Jabatan menyemak keperluan penilaian dan semakan serta menyediakan Portfolio Penilaian Kendiri mengikut format COPPA MQA-02 atau kod amalan lain yang diluluskan untuk tujuan audit dan diserahkan kepada PJK bagi memastikan dokumen tersebut memenuhi keperluan yang ditetapkan.
      • Fakulti/Institut/Pusat menghantar dokumen yang telah lengkap kepada PJK setelah mendapat pengesahan daripada PPA.
      • PJK menyemak kecukupan dokumen yang juga meliputi dokumen sokongan seperti minit Mesyuarat Fakulti dan Laporan Jawatankuasa Kurikulum. Sekiranya tidak lengkap, dokumen tersebut dipulangkan semula kepada Fakulti/Institut untuk dilengkapkan.
      • Jika dokumentasi tersebut telah lengkap, PJK akan melantik Panel Penilai.
      • Penel penilai bertanggungjawab menyemak dokumen program bagi memastikan ia memenuhi keperluan COPPA atau kod amalan setara serta keperluan standard program. Jika tidak mencapai kehendak keperluan, Panel Penilai memaklumkan kepada PJK keperluan yang perlu dibuat penambahbaikan dan kepada Fakulti sebelum proses lawatan audit dijalankan.
      • PJK/ Panel Penilai mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Fakulti/Institut mengenai perancangan audit dan dokumen sokongan tambahan yang diperlukan.
      • JKPP mengadakan lawatan audit ke Fakulti/Institut untuk tujuan penentusahan kandungan dan amalan yang dilaporkan di dalam dokumen yang dihantar serta pengenalpastian amalan baik dan syor untuk penambahbaikan.
      • Setelah selesai lawatan audit, Panel Penilai akan mengemukakan draf laporan dan diserahkan kepada PJK yang akan memajukan laporan tersebut kepada Fakulti/Institut untuk mendapatkan maklum balas.
      • Berdasarkan maklum balas yang diterima, Panel Penilai menyediakan Laporan Penilaian Program yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Audit dan Penilaian Program Pengajian (JKAPPP) untuk diperakukan bagi pertimbangan Senat.
      • Senat meneliti Laporan Penilaian Program dan mempertimbangkan buat keputusan untuk memberi kelulusan Akreditasi Penuh atau akreditasi bersyarat atau tidak meluluskan akreditasi. Kelulusan diberi berserta dengan:
        • tahap penarafan program (skala 1-5),
        • jangka masa kitaran untuk semakan akan datang (3-5 tahun), dan
        • laporan tentang pujian, penegasan dan syor.
      • Tertakluk kepada kelulusan Senat, maklumat program dihantar kepada MQA untuk kemasukan program baru ke dalam MQR atau pengemaskinian maklumat program sedia ada di dalam MQR.
      • Fakulti/Institut merancang pelan tindakan dan melaksanakan penambahbaikan untuk syor dan penegasan seperti yang dicatatkan dalam Laporan Penilaian Program dengan diselenggara dan dipantau oleh PJK.

     

    18. Apakah proses dan prosedur bagi akreditasi program professional?

    Proses dan prosedur untuk pengurusan akreditasi program profesional:

      • PJK memaklumkan kepada Fakulti/Institut keperluan untuk melaksanakan Akreditasi Program Profesional.
      • Fakulti/Institut menghantar salinan dokumen yang disediakan untuk tujuan Akreditasi Program Profesional kepada PJK.
      • Fakulti/Institut melaksanakan Akreditasi Program Profesional dengan MQA atau badan profesional berkaitan bagi bidang program yang dinilai dengan pemantauan oleh pihak PJK.
      • Fakulti/Institut memaklumkan keputusan Akreditasi Program Profesional dan menghantar salinan laporan daripada MQA atau badan profesional berkaitan kepada PJK.
      • Tertakluk kepada keputusan akreditasi, PJK mengemukakan untuk kelulusan Senat cadangan kemasukan maklumat program ke dalam MQR untuk program baru atau pengekalan dan pengemaskinian maklumat program untuk program sedia ada.
      • Fakulti/Institut merancang pelan tindakan dan melaksanakan penambahbaikan untuk syor-syor yang dicatatkan dalam Laporan Akreditasi dengan dipantau dan diselenggara oleh PJK.

     

    19. Di manakah saya boleh mendapatkan khidmat nasihat tentang penyediaan dokumen KPM dan MQA bagi program baru?

    Khidmat nasihat tentang penyediaan dokumen KPM dan MQA bagi program baru boleh diperolehi daripada Pusat Jaminan Kualiti (PJK).