Kualiti – UKM

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Latar Belakang

Pengenalan
Pusat Jaminan Kualiti ditubuhkan secara rasmi pada 10 Februari 2011 setelah diluluskan oleh Lembaga Pengarah UKM Bil. 1/2011 pada 10 Februari 2011. Sebelum penubuhannya semua aktiviti kualiti UKM dikendalikan oleh Bahagian Jaminan Kualiti iaitu di bawah pentadbiran Pusat Perancangan Korporat dan Kualiti (PPKK). Penubuhan PJK adalah selaras dengan cadangan Panel Penilai Audit Institusi MQA ke atas UKM pada 22-26 Mac 2010 di mana UKM telah berjaya diberikan status Swaakreditasi (self-accreditation) berkuatkuasa 29 April 2010. Hasil Audit, Panel MQA telah mencadangkan supaya UKM menilai semula Sistem Jaminan Kualiti (QA Systems) sedia ada dan mengambil langkah supaya proses kualiti lebih telus dan berintegriti  di semua peringkat. MQA juga mengesyorkan supaya  UKM menubuhkan Pusat Jaminan Kualiti (Quality Assurance Division) untuk memastikan Sistem Jaminan Kualiti UKM lebih terancang dan berkesan.

 

Fungsi

PJK bertanggungjawab:

  • Merancang, melaksana, memantau dan menambah baik kualiti proses teras akademik dan perkhidmatan secara berterusan berdasarkan kepada kerangka kualiti universiti serta keperluan pihak berkepentingan.
  • Menerima dan menganalisis maklum balas dan aduan pelanggan serta memantau tindakan penyelesaian.
  • Memainkan peranan sebagai penghubung dengan pihak berkepentingan dalam mengendalikan agenda jaminan kualiti.

 

Kepimpinan

Prof. Ir. Dr. Shahrir Abdullah merupakan Pengarah Pengasas Pusat Jaminan Kualiti apabila dilantik sebagai Pengarah PJK yang pertama pada 10 Februari 2011. Pelantikan ini adalah berdasarkan kepada pengalaman beliau sebagai Timbalan Pengarah (Jaminan Kualiti) Pusat Perancangan Korporat dan Kepimpinan sejak tahun 2008. Beliau merupakan seorang Auditor/Lead Auditor yang bertanggungjawab di dalam pelaksanaan Audit Dalaman program akademik berdasarkan standard MQA. Prof. Ir Dr Shahrir turut pakar dalam pengurusan kualiti terutamanya melibatkan SPK ISO 9001 dan dilantik selaku Timbalan Wakil Pengurusan SPK PPPS. Beliau juga merupakan mantan Pengerusi Pengasas MyQAN selama 5 tahun dan Ahli Majlis serta Panel Pakar AUN-QA diperingkat ASEAN.

Pada bulan Mei 2018, Pengarah Kualiti-UKM yang kedua telah dilantik iaitu Prof. Madya Dr Roziah Sidik@Mat Sidek bagi menggantikan Prof. Ir. Dr Shahrir Abdullah yang dilantik sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Perlantikan Prof. Madya Dr Roziah Sidik@Mat Sidek dianggap sebagai sirih pulang ke gagang, yang mana beliau sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah (BSPK) di Kualiti-UKM. Pengalaman beliau dalam pengurusan jaminan kualiti Institusi Pengajian Tinggi telah meyakinkan Pengurusan Tertinggi UKM untuk melantik beliau bagi tempoh 3 Tahun. Beliau juga merupakan seorang auditor dan penilai dalaman MS ISO 9001 serta penilai program akademik berdasarkan standard MQA. Penglibatan dalam MPQ, MyQAN dan AUN-QA juga memudahkan beliau membuat jaringan dengan institusi lain di Malaysia dan ASEAN.

 

Bahagian

1)  Bahagian Sistem Pengurusan Kualiti

Menyediakan manual, dokumentasi dan laporan kualiti bagi pihak Universiti

2) Bahagian Audit dan Penandaarasan

Merancang dan melaksana audit, pemantauan dan peningkatan kualiti (enhancement) proses teras akademik & pentadbiran berdasarkan kerangka kualiti Universiti.

3) Bahagian Perancangan dan Peningkatan Kualiti

Membangun dan mengendalikan sistem aduan dan maklum balas untuk menilai keberkesanan penyampaian perkhidmatan