Siri Wacana ATMA: Memulihara Kehebatan Kelelakian dari Perspektif Etno-Sains Perubatan Melayu

Sinopsis

Sebelum sains dan perubatan alopati diperkenalkan kepada masyarakat moden hari ini, setiap komuniti tradisional dari pelbagai etnik mempunyai kaedah mencegah penyakit dan merawat penyakit yang dihadapi dalam masyarakat masing-masing. Komuniti etnik ini mengggunakan flora, fauna, air, tanah, api, angin, galian, garam dan sumber alami yang lain bagi membuat ubat dan merawat pelbagai penyakit. Ilmu kearifan tempatan dalam perubatan etnik dikenali sebagai etno-sains perubatan. Dalam Alam Melayu juga terdapat etno-sains perubatan yang telah diamalkan ribuan tahun yang lalu dan pernah direkodkan sebahagian besar ilmu ini dalam Kitab Tibb Melayu.

Perihal kelelakian dan kaedah memulihara kelelakian juga adalah ilmu yang diwarisi di Alam Melayu. Sebahagian korpus ilmu kearifan tempatan dalam memulihara kehebatan kelelakian ini sudah pun teruji seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, urut Melayu, senaman Melayu, Habbatus Suadah, Madu, bekam, dan air suam tetapi banyak lagi yang belum diketahui oleh umum secara meluas. Walaupun komuniti etnik tradisional ini tidak mempunyai bukti empirikal untuk menyokong dan mempromosi perubatan Melayu dalam memulihara kehebatan kelelakian, amalan yang dilakukan oleh orang Melayu memberi testinomi yang positif. Apabila amalan itu diulang-ulang oleh lebih ramai orang awam, dan masih mendatangkan kesan positif yang dirakam dalam testimoni mereka, maka amalan itu menjadi suatu ilmu yang konkrit.

Wacana ini akan mengupas dan membahas konsep dan amalan serta kaedah pemuliharaan kehebatan kelelakian dari perspektif etno-sains perubatan Melayu. Walaubagaimana pun, etno-sains tidak boleh berpisah dari ilmu sains perubatan yang boleh memberikan penjelasan lanjut mengenai sesuatu yang berlaku pada tubuh badan, luar dan dalam. Sains perubatan juga mampu mengukur kesan sesuatu ubat atau sumber alami yang diambil atau digunakan oleh pesakit untuk tangani sakitnya. Gandingan panel dari sains perubatan yang mempunyai klinik perubatan sendiri dan pengamal perubatan komplementari Islam yang juga mempunyai kliniknya sendiri akan berkongsi ilmu dan pengalaman mereka dalam memulihara kehebatan kelelakian. Kedua-dua panelis juga berpengalaman merawat masalah kelelakian yang diganggu oleh perbuatan sihir dan ilmu hitam.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA),
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM, Bangi
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: 603 8921 5280 Tel: 603 8921 5280
Faks: 603 8925 4698
Emel: pghatma@ukm.edu.my